Showing posts with label muhasabah. Show all posts
Showing posts with label muhasabah. Show all posts

Wednesday, March 28, 2012

Naif

Usaha tangga kejayaan.

Tapi..
Di mana kejayaan jika matlamatnya adalah neraka?
Apakah ada kejayaan bagi orang-orang yang menyebabkan murka Tuhannya?
Berjayakah mereka yang 'berjaya' dalam kemaksiatan?

Hairan melihat.
Bersungguh-sungguh mengumpul dosa.
Pandai sekali menyembunyikan.
Laksana seorang ninja. Hitam. Malam

Tiada siapa melihat. Ok, teruskan.
Tiada orang tegur. Ok, teruskan.
Belum sampai seru. Ok, teruskan.
Kubur masing-masing. Apa kau kisah?

Dah biasa buat. Ok, teruskan.
Tak ada orang tangkap pon. Ok, teruskan.
Nanti-nanti taubat la. Ok, teruskan.
Asalkan tak kacau orang lain. Baiklah, terserah. 

Dahulu, aku sungguh yakin sekali yang setiap muslim itu.. baik. 
Tahu hukum-hakam. Mana halal, mana haram.
Jadi, bila melihat kemaksiatan yang dilakukan... 
..aku sering menyangkakan "mungkin mereka terlupa"



Tapi.. bila fikir balik. Siapa aku? Muslimkah aku?
Jadi, adakah aku juga "mungkin terlupa"?

Alangkah naifnya aku.
Ya, aku tahu.
Benar, aku sedar.

Jadi, kenapa?
Adakah benar-benar aku terlupa?
Atau apakah aku sengaja mencari pasal?

Allah Maha Pengampun, kan?
Jadi kerana itu, kau buat maksiat banyak-banyak?
Dasar hamba tak mengenal untung..

Monday, March 26, 2012

Bukan Kau Punya


Sebiji epal. Di atas sepohon epal. Di dalam sebuah kebun epal. Yang berpagar. Bukan milikmu.

Kau hanya mampu memandang dari jauh mengenangkan epal tersebut
..yang bukan kepunyaanmu.

Di situ, sang pekebun sibuk memotong rumput-rumput di sekitar pohonan tersebut.
Dahan-dahan dicantas agar pohon itu sentiasa rendang.
Epal-epal yang ada dipelihara dari serangan serangga dan cuaca.
Sehinggalah ia cukup matang untuk dituai..

Engkau hairan..
Kenapa si pekebun tidak memetik epal tersebut.
Bukankah epal itu sudah masak?
Merah pekat, enak dipandang, membuat hatimu berbisik, "pasti manis epal itu"

Apakah yang ditunggu-tunggu pekebun itu?
Tidak risaukah dia sekiranya epal tersebut busuk, dimamah serangga, dicuri monyet?

Risaumu, sebenarnya bukanlah terhadap epal itu.
Tapi terhadap hatimu.
Memberontak menginginkannya tetapi apakan daya, bukan milikmu.

Pernah jua engkau terfikir..
"bagaimana jika aku panjat dan petik sahaja?"
Malam yang gelap, hujan turun lebat, angin bertiup kencang.
Masakan si pekebun ada untuk menjaga epalnya
Cerdik rancanganmu..

Namun, mujur sahaja cerdik akalmu tidak secerdik imanmu.
"Itu bukan kepunyaanmu..."
Apalah ertinya.
Kepuasan yang kau dapat hanya sebentar.
Balasan yang bakal kau terima.. boleh jadi selamanya.

Pencuri.
Penceroboh.
Haram buatmu.
Bila menjadi darah dagingmu.. neraka tempatmu.
Mahu?

Risau apakah kau?
Jika rezekimu, ia pasti akan sampai jua ke tanganmu,
Jika sudah tertulis begitu, tiada siapa yang bisa menghalangmu.
Kau lebih mulia dari yang kau sangka, andai sahaja engkau tahu.
Maka janganlah merendahkan maruahmu, menghinakan martabatmu
.

*****


Setiap hari kau melintasi kebun tersebut.
Epal itu tetap di situ.
Epal ajaib. Biarpun bertahun di situ, warnanya masih terang, merahnya tidak terusik.
Mungkinkah ia sedang menanti dirimu?

Kau hanya boleh melihat dari jauh.
Kerana..
Epal itu bukan milikmu...
Maka, berlakulah sebagaimana layaknya..

Monday, March 19, 2012

Jahil

Dosa si jahil kerana malas mencari tahu..
Dosa si alim kerana tidak mengamal pengetahuannya. 

Aku lebih rela menjadi si jahil daripada menjadi si alim lalai. 
Aku lebih gembira menjadi si jahil yang mati dalam perjalanan mencari ilmu. 
Aku lebih suka mejadi si jahil.. jahil dari ilmu-ilmu kemaksiatan.

Tapi.. siapa yang mahukan kejahilan? 
Bukankah mukmin yang kuat itu lebih disukai dari mukmin yang lemah? 
Bukankah mukmin yang pintar itu lebih disukai dari mukmin yang jahil?


Aku harap, aku lalai dalam kejahilan..
Kerana seksa untuk si alim yang alpa.. berkali ganda lebih berat..

Sunday, January 22, 2012

Cerpen: Masih Adakah Esok Buatku?


     Kadang kala aku begitu yakin sekali tatkala tidur malam. Aku begitu yakin bahawa masih ada esok untukku. Yakin bahawa mata aku akan celik seperti biasa dan aku akan bangkit ke kamar mandi seperti selalunya.

Kenapa ya?

Aku terfikir...

     Dari mana datangnya keyakinan tersebut? Apakah aku tidak sedar yang mati boleh datang bila-bila masa? Saat jaga mahupun tidur. Ketika lapang mahupun sempit. Sewaktu senang mahupun susah. Pun begitu, aku seolah-olah meremehkannya ibarat bersangka bahawa aku pasti akan bangun esok. Apakah aku tidak beriman dengan ayat "Dimanapun engkau berada, kematian akan menjumpaimu. Walaupun engkau berada didalam menara yang kukuh dan tinggi sekalipun.." [4:78]!?

     Tahu diri berdosa tetapi masih ditangguhkan taubatnya. Sekalipun dosa yang aku lakukan adalah dosa kecil.. namun dosa tetap dosa dan akan tetap dihitung. Jadi apakah aku yakin bahawa amal-amal kebaikanku cukup banyak untuk mengkompensasi dosa-dosa yang terkumpul tidak tertaubat itu? Lupakah aku kepada firman-Nya, "Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya". [99:7-8]

     Akulah manusia yang paling aneh. Punyai kesempatan namun disiakan. Jutaan mayat merayu untuk berada ditempatku, biarpun cuma sesaat, mereka mahu hidup kembali untuk bertaubat.Tapi aku??? Seenaknya tidur. Bagaimana kalau aku mati dalam tidurku?? “Sesungguhnya barangsiapa yang datang kepada Tuhannya dalam keadaan berdosa, maka sesungguhnya baginya neraka jahanam. Ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.” [20:74]. Lupa?? Atau buat-buat tak tahu??

     Aku ingin hidup lebih lama. Kerana aku tahu, lebih lama aku di sini, lebih banyak bekal untuk ku kumpul. Tapi aku khuatir. Khuatir jika panjang umurku kelak akan dipertanggungjawabkan ke atas dosa dan maksiat yang aku lakukan. Pastilah aku orang yang paling menyesal di hadapan Tuhanku kelak...


Taubat itu wajib. Jika hari ini aku terlupa..

Masih adakah esok untukku?

Wednesday, January 11, 2012

Tangguh


Dalam hati terniat nak mengaji, buka tafsir, belajar sikit pasal hadith, baca modul, study cases. Tapi aneh, bila terdetik sahaja nak buat perkara sedemikian, tak sempat habis fikir pun, baru sahaja terlintas "aku ingat nak mengaj..".. dengan tak semena-mena, dah ada satu lagi lintasan lain memotong fikiran tersebut.

"kejap lagi la, main game dulu"

atau

"rilek dulu la, lepas maghrib je la. alang-alang nak tunggu isyak"


Selepas main game atau setelah selesai maghrib, sekali lagi terlintas nak melakukan perkara sama, tetapi ianya terjadi lagi. Lintasan hati tersebut dipintas oleh satu lagi lintasan lain..

"mengantuk la lepas main game, tidur dulu la. biar segar sikit, baru best belajar"

atau

"nak baring-baring kejap la. lepas isyak baaaanyak masa. belajar lepas isyak je"


=.="




Kenapa amal kebaikan itu terasa berat untuk dilaksanakan on the spot? Acap kali niat kita untuk melaksanakan suatu kebajikan terbantut dek kerana sikap suka bertangguh. Anehnya, apabila berhadapan dengan perkara lagha dan hiburan melalaikan, tidak pula kita terfikir untuk menangguhkannya. Setuju?

"Rasa nak tengok SN..", belum sempat kepala kita menghabiskan ayat tersebut, jari kita terlebih dahulu menekan link youtube yang telah dibookmark. 'SNSE - mr bajai..'


Benar. Perkara baik sentiasa dirasakan tersangat-sangat berat untuk dilaksanakan. Biarpun witir itu cuma 3 rakaat, dan boleh juga dilakukan 1 rakaat.. berapa ramai yang 'kuat' untuk menunaikan ibadah yang.. tak sampai 3 minit tu? "Movie kol berapa? ok, set! Berapa jam? 3? no hal, yang penting citer best" =.="

Mata wang kertas terkecil sering menjadi pilihan dalam urusan sedekah. Kalau anda seorang penyeluk saku dan penghulur buta (yakni tidak tengok pun berapa yang dihulurkan), tahniah. Namun bagi yang berkira-kira "nak hulur seringgit ke.. lime posen" .... simpan sahajalah duit itu. Mudah-mudahan berguna untuk beli kain  putih.


Tiga minit tak lama. Lima minit pun tak lama. Begitu juga sepuluh minit. Kita yang memerlukan Allah, Allah tak perlukan kita pun.
Duit boleh cari, malah akan diganti lebih banyak. Nak kedekut.. padahal bukan kita punya pun.
Oleh itu, bersabarlah. Teruslah melakukan bila terlintas niat tersebut.
Jangan bertangguh dan tidak usahlah berkira dalam beramal kebaikan..

Kalau nak juga.. tangguhkan la perkara-perkara lagha. Not the other way around..

Wednesday, December 14, 2011

Kembali


Optional: Play lagu ini, dan biarkan ianya berputar..

1. Kadang-kadang aku tertanya-tanya..
Kita melakukan suatu dosa. Dan kita menyesal akan perbuatan kita lalu sujud bertaubat, taubat dengan sebenar-benar taubat. Berazam dan berjanji tidak mahu mengulanginya..

Namun, yang dinamakan manusia, tak boleh lari dari alpa dan lupa. Kita tidak maksum. Kita lakukan lagi dosa yang sama, lagi dan lagi. Menyesal, bertaubat. Lagi dan lagi..

Persoalannya, adakah kita tahu sama ada taubat kita diterima atau tidak? Memohon keampunan itu wajib, namun mendapat pengampunan atau tidak, tak siapa tahu. Dan memandangkan kita tidak tahu, wajarkah kita bersenang lenang? Bagaimana kita boleh tidur dengan tenang dalam dosa? Tergamak sungguh kita. Tenang tak bertempat.. Bagaimana jika dosa kita tidak diampunkan, dan kita mati sebelum diampunkan dosa? Apa ertinya hidup di dunia ini..?


2. Katakan kita ada seorang kawan. Entah mengapa, kita sering sahaja menyakiti perasaannya. Lagi dan lagi. Saban waktu, ada sahaja perkara yang kita lakukan yang menyinggung perasaannya. Dan kita bukan lakukan di luar sedar, kita tahu kita menyinggungnya, namun tetap sahaja terus melakukannya.

Satu hari.. kita berada dalam kesusahan. Tiada siapa di situ melainkan dia. Kita amat memerlukan pertolongannya, namun.. ketika itu, terkenanglah kita akan kejahatan-kejahatan yang kita lakukan padanya. Apa perasaan kita? Tak malukah kita nak minta pertolongan darinya begitu sahaja? Tidakkah kita ada rasa seperti.. nak minta maaf terlebih dahulu sebelum minta tolong?

Aku tertanya-tanya.. Kita sedar banyak dosa yang kita lakukan. Berburuk sangka, dedahkan aurat, ringankan solat, membuang masa, mensia-siakan nikmat waktu dan kesihatan dsb. Saban hari, kita melakukannya lagi dan lagi. Kemudian, tanpa segan silu, bila dalam kesusahan.. kita berdoa meminta sesuatu. Tak malukah kita?


3. Kita dalam kesusahan. Di sisi kita ada seseorang yang kita yakin dia boleh membantu. Dan kita tahu kita tak boleh menyelesaikan masalah itu sendirian. Tatkala mahu meminta pertolongan.. kita berhenti. Ego kita berkata.. aku tak perlu minta pertolongan. Akhirnya kita susahkan diri sendiri.

Ya, benar. Apabila kita minta pertolongan, peluang untuk ditolong adalah 50-50 tergantung pada budi bicara penolong, nak tolong atau tidak. Tapi jika kita sombong tak mahu minta tolong wal hal kita tahu kita tidak mampu.. peluang untuk tidak ditolong mungkin adalah 100%. Kenapa? Kerana kita sombong..

Dan kita semua tahu.. sebaik-baik penolong adalah Allah.. Kenapa sombong sangat tidak mahu berdoa? Sedangkan kita tahu, tanpa pertolongan Allah, nak angkat kelopak mata pun kita tidak akan mampu. Kenapa sombong sangat..?




Tak mahu bertaubat.. Tak malu nak mohon pertolongan walhal tahu diri kotor dengan dosa.. Dan sombong tidak mahu berdoa sama sekali..


Kita tahu kita akan kembali kepadaNya..
Tapi kita tidak pernah tahu bagaimana kesudahan kita..
..bagaimana keadaan kita sewaktu kembali kelak..

Saturday, December 3, 2011

Daratan


Jangan la sekular sangat..

Tak kira sejauh mana pendirian kau tentang kehidupan.. tak kira macamana hebat logik kau mentafsir sesuatu.. kadang-kadang kau perlu kembali ke dunia nyata. Ya, ke dunia di mana kau tak lebih dari seorang hamba dan kau hidup bertuhan.

Kau mungkin rasa "tak apa buat ini dan itu, asalkan aku tak melampaui batas". Tapi hakikatnya, 'ini dan itu' itu sahaja sudah melampaui batas. Paham apa maksudnya? Bagus la kalau paham. Kalau tak paham, lagi bagus.

Sebelum kau berbuat sesuatu.. jangan fikir "tak apa, its safe" atau "aku seronok, so suka hati aku la apa aku nak buat, ini life aku.. mati nanti kubur lain-lain". Sebaliknya, fikirlah "tak apa kah? is it allowed?" or "kubur kita lain-lain, jadi kalau bukan aku yang selamatkan diri aku, nak harapkan siapa?"

A. Kau dicop sebagai sombong dan kera sumbang hanya kerana kau nak mempertahankan agama dan kehormatan. Atau kau dikatakan kolot dan anti sosial hanya kerana kau tak mahu maruah dan prinsip kau dicabuli.

B. Kau digelar awesome serta disegani teman-teman kerana sikap kau yang open dan tak peduli dengan siapa kau bergaul. Atau kau disenangi kerana sikap kau yang periang serta tak kisah dengan cara kau bergaul.

C...

Mana kau rasa baik untuk hati kau?

Kau mungkin rasa kau boleh buat apa sahaja atau cakap apa sahaja. Tapi ingat, setiap langkah, setiap patah perkataan.. diperhatikan, dicatat dan akan dipertanggungjawabkan. Tolong jangan ego nak sujud bertaubat. Tolong jangan sombong dengan Pencipta. Dah buat dosa, tapi taknak bertaubat.. itu sombong... Atau berbuat dosa, tahu ianya dosa, tapi tak rasa apapa..(atau bangga dengannya).. itu adalah.. sombong..

Thursday, October 27, 2011

Bagus Sangat?

 

Menyeru kepada kebaikan, mencegah daripada kemunkaran. Senang dilafaz, mudah diingati tapi sukar dilakukan. Aku akui.

    Ini bukan lagi zaman generasi al-Quran. Zaman di mana, apabila seseorang itu rasa berdosa, dia akan menangis beresak-esak, bahkan sehingga pengsan. Bukan juga zaman di mana al-Quran dan hadith dirujuk dan diaplikasikan sepenuhnya dalah kehidupan bahkan ketika hendak membuang air sekalipun..

Zaman tersebut telah berlalu, generasi tersebut telah lama meninggalkan kita. Tiada lagi.

    Dan di sinilah kita. Zaman fabecook, twitet dan goo-gel? atau zaman android, bleakberry dan apel (hmm~)? Tidak. Kita sekarang berada di zaman di mana kebanyakan orang melakukan dosa tanpa ada apa-apa perasaan. Bahkan ada di antaranya yang berbangga dengan dosanya. Malah mungkin juga ada yang tidak tahu apa-apa mengenai dosa dan pahala walaupun dia bersaksi dengan kalimah syahadah.

    Kemungkaran itu sesuatu yang... normal. Macam dah sebati dalam jiwa masing-masing kerana telah terbiasa. Dan apabila ada yang tampil menegur, pantas sahaja teguran itu diprotes, "kau fikir kau bagus sangat?", "takkan la kau tak pernah buat. Kalau kau sendiri pernah buat, kau tak layak nak tegur orang..".. Ya, mungkin penegur itu pernah melakukan kesilapan yang sama dan telah bertaubat. Dia menegur kerana tidak mahu ada yang terjerumus sepertinya..

    Tapi, si penegur juga manusia biasa. Jiwanya mungkin sangat-sangat lemah. Apabila dia menegur dan dibangkang seperti demikian, pasti hancur semangatnya. Tidak cukup dengan itu, dikalangan sahabat-sahabatnya pon, ada yang membangkang dirinya "itu la kau, jangan la main tegur je. Nak menegur pun, kena ada cara. Caranya salah, orang bukan sahaja tak mahu mendengar, bahkan menolak terus".. alangkah sedihnya si penegur tersebut.

Kasihan bukan..
Bila kau nampak dia bergurau senda, tidak menjaga batas pergaulan (contoh), tetapi kau biarkan. Alasan kau..
1) Tak boleh tegur, nanti dia terasa..
2) Tak boleh tegur, aku bukan uztaz/ah. Confirm dia taknak dengar.
3) Tak perlu la tegur. Dia bukan budak kecik yang tak tau halal haram. Dia sendiri yang pilih. Tegur pon tak guna kalau dia dah buat keputusan macam tu. Biar je la. Tu antara dia dengan Allah.
4) Nak tegur ke eh? Ayah dia pon tak pernah kesah. Mak dia pon jenis sosial.. so, aku yang bukan siapa-siapa ni, nak tegur? Harapan la..
5) Tak kan nak tegur plak. Baru semalam aku buat macamtu.. macamana nak tegur kalau aku pon buat..
6) Last time aku tegur, dia melenting. Cold war. And sekarang dah baik balik. So, tak nak la jadi macam dulu lagi..

....dan setelah berfikir panjang, menolak menambah, mencongak baik buruk. Akhirnya kita 'terpaksa' membiarkan kemunkaran tersebut. Tidak berdaya. Takut hilang sahabat. Takut dipulau masyarakat.. Takut keseorangan...


    Entahlah. Mungkin kita terlalu sangat menjaga hubungan kita dengan manusia. Sehingga terlupa akan perintah empunya jiwa..

    Walhal, sekalipun kita ditinggalkan semua sahabat kita kerana mereka enggan meninggalkan kemunkaran.. kita tetap tidak akan keseorangan. Allah akan sediakan kita sahabat yang jauh lebih baik.. Kalau tiada juga.. kita tetap tidak keseorangan. Allah sentiasa bersama. Tapi tu la.. kita lebih takut kehilangan mereka... Seolah-olah, merekalah pemberi nafas buat kita. Tanpa mereka kita merana..

Monday, August 29, 2011

Anak Kita


     Bila aku dah kahwin nanti, bila aku dah ada anak sendiri.. seriously aku dan isteri aku sendiri yang akan ajar mereka mengaji, membaca, menulis dan mengira. Yer, awak, kita sendiri akan ajar mereka. Bukan orang lain. Aku rasa alangkah ruginya kalau anak-anak sendiri diserahkan kepada guru dan uztaz untuk pendidikan awal sebegitu.

     Bayangkan, ilmu yang bermanfaat. Kita ajarkan mereka mengaji, dan bila mereka dah pandai nanti, boleh mengaji sendiri.. ada tak bahagian untuk kita? Yer, ada insyaAllah. Satu huruf yang mereka lafazkan, semuanya ada ganjaran untuk kita. Dan bila mereka dewasa, berkahwin dan beranak, jika mereka mengajarkan anak-anak mereka pula, ada tak bahagian untuk kita? Ya, ada insyaAllah. Dari kalangan mereka, jika ada yang menjadi guru, mengajarkan ilmu yang sama kepada anak murid mereka, anak murid mereka mengajarkan kepada anak-anak mereka and so on.. ada tak bahagian untuk kita? InsyaAllah.

     Mana tidaknya, mengaji.. hari-hari kita harus mengaji. Dan bila aku ingat-ingat balik, insan yang mengajarkan aku alif ba ta sehinggalah aku mampu khatam al-Quran, adalah emak aku. Dan insan yang mengajar aku ABC sehinggalah aku mampu membaca dengan lancar, adalah ayah aku. Begitu juga dengan semua adik-beradik yang lain. Suatu pelaburan jangka panjang.

     Jadi, adakah ilmu itu akan berhenti pada aku sahaja? Tidak, kita mungkin tak jadi guru, tapi kita insyaAllah akan menjadi ayah dan ibu. Dan itulah yang akan kita lakukan. Kita mungkin tiada semua ilmu yang mereka mahukan, tapi kita ada ilmu paling asas yang mereka perlukan.

     Jadi, kepada bakal ibu dan ayah sekalian, jangan sia-siakan ilmu dan anak-anakmu. Keduanya adalah pelaburan yang sangat menguntungkan..

Saturday, June 25, 2011

Nak Ke Jadi Macam Ni?

 
Kalau pun kau finalis, kalau pun kau feveret ramai..
Kalau iya pun nak buat kelakar, kalau pun nak buat orang ketawa..

Jangan guna nama Tuhan..

"saya tak ada niat pun nak mengorat, sumpah, wallah (demi Allah)!"
..dan kemudian, penonton-penonton ketawa. Lawak yang dibuat itu menjadikan nama Tuhan seolah-olah tiada makna di hati mereka. Nama Allah yang sepatutnya menginsafkan hati bila diperdengarkan.. sepatutnya digeruni or atleast ada rasa hormat.. tetapi bila diselitkan dalam lawak yang tak lawak.. orang ketawa.

 *****


"Alhamdulillah, syukur. Berkat doa ibu bapa saya (maksiat yang diberkati?), akhirnya saya berjaya dinobatkan sebagai finalis Akedemi-nyanyi-dan-menari ini. Namun, perjalanan saya tidak hanya sampai di sini, masih jauh lagi ke hadapan. Maka, doakanlah saya berjaya" - Nur (bukan nama sebenar)

Itu adalah contoh ucapan yang kadang-kadang bila masyarakat dengar, masyarakat akan beranggapan..
"oh, baiknya penyanyi ni, dah berjaya pun, masih ingat Tuhan (ingat Tuhan ketika nak buat maksiat), masih ingat sama ibu bapa. Tidak sombong"

Dan di bawah pentas..
"Syukurlah, isteri/tunang/adik/kakak aku terpilih. Aku bangga dengan dia (berbangga atas perkara mungkar). Setiap malam kami sekeluarga tak putus-putus mendoakan dia"

    Kau, kau dan kau.. inilah realiti masyarakat kita. Wanita menyanyi dan menari, bapanya langsung tidak peduli, malah galakan semakin diberi, kredit terus dibeli, jemari pantas mengundi. Anak yang seharusnya menjadi penyambung amalan apabila meninggal, bertukar menjadi anak yang menarik bapanya ke neraka.

 *****
 
"Saya tidak kisah apa pun pekerjaan yang dilakukannya. Mahu menyanyi atau menari, itu terserah. Saya faham kerjayanya dan saya akan teruskan menyokongnya. Asalkan dia tahu menjaga dirinya (jaga diri yang macamana?)" - suami

"Syukurlah dia faham kerjaya saya. Dia tidak membantah, malah redha  dengan perkerjaan saya (redha dengan maksiat???). Sebab tu saya sayang sangat pada dia" - isteri

Erm.. hello, isteri kau nak bawa kau masuk neraka tu. Dan kau redha diri kau dibakar. Kau kawen agar kau dipanggang dan disalai-salai... TT.TT


    Well, aku ni siapa nak judge mereka? Ok, aku tak judge, sebab post ni bukan untuk mereka. Tapi untuk aku. Mana la tau anak-anak aku gatal nak menyanyi.. nak makan penampau? Or, mana la tau bini aku tiba-tiba teringin nak berjoget atas pentas. So, pesanan ini adalah untuk aku. Dan juga peringatan untuk orang-orang macam kau, yang tak mahu jadi macam suami/bapa yang diceritakan di atas. Kalau dalam hadith riwayat ahmad, lelaki macam tu nabi kata.. lelaki dayus. Kalau la orang panggil kau.. "oit, dayus la kau!" sure panas telinga kita. Tapi ni bukan orang biasa yang kata, tapi nabi yang sebut. Kau tak malu?

Tuesday, May 31, 2011

Pilihan Kau Sendiri


   Kita adalah siapa yang kita pilih untuk jadi. Ok, tipu. Ada je orang yang nak jadi pawe renjes tapi sebab mak ayah suruh die jadi cikgu, maka dia jadi cikgu.

   But still, aku nak jugak kata, untuk jadi siapa, itu pilihan kita. Tiada siapa yang memaksa. Nak buat apa, nak makan apa, nak kawan dengan siapa, kita sendiri yang tentukan.

   Kau sendiri yang memilih untuk jadi siapa yang kau nak. Nak jadi pekerja yang berdedikasi, pelajar yang berintegriti, perompak yang digeruni mahupun perogol yang dicari polisi, itu terserah. Kau ada hidup kau sendiri. Kau bukan budak kecil untuk ditentukan masa depannya oleh mak bapak. Kau tahu membezakan baik dan buruk.

   Kau tak nak pakai tutup aurat, tak nak berhenti mengumpat, nak tengok yang bukan-bukan dalam internet, nak mencarut-mencarut, nak bergaul laki pompuan atas alasan mengeratkan silaturrahim, nak dating-dating tanpa ikatan, semua tu pilihan sendiri. Tuhan dah kasi macam-macam jalan yang baik untuk kau pilih, tapi kau tak nak ikut, still nak ikut kepala sendiri, itu terserah.

"Aku bukan nabi. Aku memang budak jahat, semua orang tahu. So, tak payah la susah-susahkan diri kau nak nasihat aku. Kau baik sangat ke? Kalau kau sendiri pernah buat, layak ke nak tegur orang?"

   Ha'a, kau bukan nabi. Aku bukan nabi. Tapi kita sama-sama mahukan syurga. Jangan kau fikir "aku Islam, macamana kena seksa pun, last-last aku masuk syurga jugak".
Cuba letak tangan kau atas api, biarkan 10 saat, tengok apa jadi. Apa rasanya? Kau ingat kau kebal? Tu baru dunia..

   Dan jangan jugak sesekali kau cuba berfikiran "semua orang buat silap, aku pun buat silap. Tak apa, nanti aku akan diampunkan jika bertaubat. So, tak apa la, aku nak enjoy dulu, nanti aku bertaubat la."
Bila kau mati? Kau tahu?

   Dan jangan jadikan alasan kesempitan dan kesusahan untuk melakukan apa yang kau rasa kau tak nak buat tapi kau buat juga sebab kau rasa dah tak ada apa-apa lagi yang boleh kau buat.

"Aku tak nak buat keje-keje mengendap ni.. tapi, tak boleh tahan laa, nak tengok depan-depan, bapak dia tak kasi"

Hmmm.. terserah la. Kau sendiri yang tentukan masa depan kau.


Last but not least..
"Eh, kau siapa nak tegur-tegur aku. Kau jaga hal kau dah la. Jangan sibuk-sibuk, esok mati, kubur lain-lain, kau susah apa?!"
"Ha'a, sebab kubur lain-lain la aku tegur kau, nanti dah mati tak dapat nak tolong dah"

Wednesday, May 25, 2011

Yang Lebih Baik


Mahu menjadi insan yang lebih baik?

Mulakan dengan memperbaiki solatmu dahulu.

1. Di masjid (bagi lelaki)
2. Berjemaah
3. Jangan bertangguh


FAQ
1. Saya ada kelas/kerja/ujian sewaktu azan berkumandang. Adakah saya harus tinggalkan urusan itu dan pergi ke masjid untuk berjemaah?
- Tidak semestinya. Selesaikan urusan itu dahulu dan kemudian pergi ke masjid. Tetapi jangan bertangguh. Main game dan tengok movie bukanlah urusan penting. Maka, tinggalkan dahulu, dan tunaikan solat.

2. Saya tertidur/ujian selesai lambat. Jemaah di masjid sudah tiada. Adakah masih perlu ke masjid? Bukannya ada jemaah. Tetap solat sendirian.
- Tetap juga ke masjid. Cari sesiapa untuk solat bersama. Jika ternyata tiada sesiapa, maka boleh solat sendiri. Tetapi tetap juga di masjid.


Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:
"Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh. Kalaulah mereka tahu pahala keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak. Inginlah aku rasanya menyuruh seseorang menggantikan ku mengimami solat, sesudah itu aku pergi dengan beberapa orang membawa ikatan-ikatan kayu bakar ke rumah-rumah orang yang tidak datang solat berjemaah, lalu dibakar rumah-rumah mereka."



     Amat mendukacitakan apabila pergi ke masjid, golongan yang paling ramai berjemaah adalah golongan tua, yang sudah pecen. Mana perginya pemuda-pemuda? Dirinya disibukkan dengan hiburan. Katanya, "tak apa, aku solat di rumah sahaja, solat jugak, kan?". Ya, solat.. Tiada apa-apa keuzuran, masjid hanya berjarak sepelaung, tiada ribut, tiada taufan, badan sihat.. Tetapi memilih untuk solat di rumah.

     Hiburan lebih diutamakan dengan alasan, "tak apa, lepas aku habis main game ni, aku solat la. Zohor lame lagi". Di penghujung zohor, baru la tergesa-gesa mengangkat wudu'. Dan adakalanya solat hanya dengan berkain sarung, tidak berbaju dengan alasan, "tak apa, yang penting tutup aurat". Ya, benar.. cuba try pergi kampus/kerja dengan hanya berkain sarung, tidak berbaju. Berani? Bila keluar dating, pakaian haruslah yang terbaik, rambut disisir rapi, wanginya menusuk kalbu.. Tapi bila solat, mahu menghadap Tuhan.. hanya sebegitu pakainya?

     Anda mahukan yang pasangan yang terbaik? Sama juga konsepnya. Baiki solat dahulu, baiki diri dahulu. Jangan kekalkan prinsip lama anda. Jangan terpengaruh dengan kisah 'the Beauty and the Beast', dongeng semata! Sebagaimana anda mahukan pasangan yang terbaik, si dia juga mahukan yang terbaik untuk menjadi imamnya. Jika solat sahaja tidak terjaga, bagaimana mahu menjaga keluarga kelak?

Sentiasa terus mencuba dan berusaha. Mungkin kita dibesarkan tanpa diperkenalkan dengan masjid, maka susah untuk kita membiasakan diri. Tetapi, jangan sesekali berhenti berusaha dan mencuba!

Saturday, March 19, 2011

Buat Jeee~


Ramai orang ada hati nak buat suatu kebaikan tapi akhirnya dia batalkan niat dia sebab dia takut dengan pandangan orang lain.

"Uih, tiba-tiba je rajin ke masjid, encik uztaz~
"Wallawei, rajin siot kau belajar sekarang!
"Kalau kau kutip semua sampah-sampah tu, nanti tukang kutip sampah takde kerje la hahaha
"Tak payah la nak jadi baik, kau tu memang dilahirkan jahat~~~
"Dulu freehair, sekarang bertudung. Ni mesti ada apa-apa ni

Ini merupakan sebahagian kata-kata orang yang selalu membuatkan kita lemah semangat dan tak jadi nak buat baik. Kemudian kita pun lupakan hasrat murni kita. Alangkah ruginya.

Pun begitu, bukan semua orang bermulut busuk dan cakap lepas. Ada yang ikhlas memberi pandangan dan pujian. Tapi... datang pula masalah lain. Iaitu dari hati sendiri.

"Wah, bagus la kau buat kerja-kerja amal ni. Bangga aku jadi kawan kau
"Tahniah la kerana berjaya berubah. Bukan semua mampu melakukan hijrah macam kau

Even mereka ikhlas, namun adakalanya hati kita refuse untuk menerima semua itu. Ada sahaja bisikan-bisikan jahat terbit dari hati.

"Dia orang ni puji-puji mesti ada apa-apa ni
"Macam la tak kenal aku, aku kan memang macamni. Aku jahat..
"Jangan la puji-puji, kalau aku ter-riak karang, sia-sia je la apa aku buat. Tak dapat pahala

See.. di sinilah masalahnya. Kemudian, dalam kes yang lebih teruk lagi.. kita pun tinggalkan apa yang kita buat dan tak istiqamah lagi dah. Alangkah ruginya.

Hurm..
Bagi aku la kan. Aku rasa baik kau buat je apa yang kau rasa nak buat. I mean, jangan ambil kisah dengan kata-kata orang. Bukan la aku nak kata pekakkan telinge, tapiii sebaliknya! Buka telinga luas-luas dan.... ikut je kata hati kau. Kalau kau rasa kau tak nak buat sebab takut nanti ter-riak, dan disebabkan benda tu kau rasa kau taknak buat.. so, kenapa kau tak buat je dengan riak terus! 

Setkan je niat tu kepada niat-niat yang tak baik seperti..

"aku nak buat ni sebab nak tunjuk kat orang
"haaa... biar semua orang tau aku baik!
"aku pakai tudung sebab nak nampak macam baik, bukan ikhlas pon

    Nampak macam jahat je bila berniat macam tu, kan? Bagaimana dengan "kalau niat tak ikhlas, tak guna pun buat". Well, siapa kata tak guna??? Bagi aku, banyak gunanya. Misal kata kita angkat sampah dengan niat nak menunjuk dan rasa macam tak dapat pahala, memang la nampak macam tak guna je kalau buat tapi atleast kalau kau buat bumi kita akan bersih, kan?

    Bukan semua kebaikan terus datang dengan niat yang ikhlas. Cuba fikir masa zaman kanak-kanak dulu. Kita sepatah apa pun tak faham tentang konsep ketuhanan, kenapa kena solat, puasa dsb. So, kenapa kita buat? Sebab mak ayah suruh. Kalau tak solat asar, tak boleh keluar main kat taman. Tu tak dikira buat kerana orang ke? 

    Dan tiap-tiap hari kita solat dengan niat yang macam tu, sebab takut mak ayah marah. Tapi bila kita dah besar, perasan tak yang kita tetap terus melakukannya even mak ayah tak suruh? Kenapa? Sebab kita dah terbiasa. Dan lagi disebabkan ada pendidikan yang terus menerus, akhirnya kita tak lagi buat kerana orang, tapi kita buat kerana kita rasa itu satu tanggungjawab.

    Jadi, point aku di sini adalah. Pedulikan niat anda. Nak buat dengan niat tak ikhlas ke, dengan niat nak menunjuk ke, riak ke.. silakanlah berniat-niat macamtu. Yang penting kau buat. Soal dapat pahala atau tidak, itu bukan urusan kita. Kita bukan Tuhan nak tentukan orang ni dapat pahala atau tidak. Kalau Allah mengehendaki akan sesuatu, even kau buat tak ikhlas pun still boleh dapat pahala, kan? Tu semua kerja Allah. Kerja kau, buat jeeeeee!

    Buat je even tak ikhlas. Nanti bila dah lama-lama buat, orang keliling pun dah biasa tengok dan kau pun rasa penat nak menunjuk, kau akan stop berniat macam tu dan kemudian kau akan tetap melakukannya sebab dah jadi kebiasaan. Dan dari situ, insyaAllah lepas lama sikit, datang pula keikhlasan. Alangkah bertuahnya..^^

Yang penting adalah.. start buat! Tak kira la apa bentuk kebaikan pun~

Saturday, March 5, 2011

Tengah Tunggu La Ni..


Semasa kecil aku sering berangan nak cepat-cepat jadi besar sebab orang besar boleh buat macam-macam. Memandu, memandu dan memandu (dahulu, ini je reason kenape aku nak membesar dengan cepat haha, punya la x matang). Waktu susah aku nak cepat-cepat senang. Bila belajar, nak cepat-cepat lulus.

Memang betul, kalau boleh kita nak semuanya cepatttttt je. Dan kerana itu tak hairanlah kalau kita dengar berita-berita orang kena saman sebab lesen terbang, orang yang makan rasuah dan orang kantoi menipu dalam ujian. Malas berusaha, tidak sabar dan ambil jalan singkat tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Sebenarnya apa yang dikejarkan dalam mencapai suatu matlamat? Andaikata hari ini kita mengimpikan untuk menjadi jutawan, lalu kita pergi merompak bank, matlamat kita tercapai bukan? Tapi apa pointnya.. kelak yang merasa bersalah adalah kita sendiri. Yang bakal tertangkap adalah kita. Yang akan dipandang hina oleh masyarakat. Yang akan dipenjarakan. Yang akan dibakar dek panasnya api neraka.. Semuanya tak lain adalah diri sendiri. Matlamat tercapai tetapi hati tidak tenteram, jiwa raga terseksa, kalau tidak di dunia, di akhirat kelak. Adakah ini yang dikejarkan?

Jalan terpesong akan sentiasa terlihat indah dan penuh kenikmatan. Memang begitu lumrah dunia. Namun kenikmatan itu hanyalah ibarat buah-buahan ranum yang diletakkan di tengah-tengah jerat sang haiwan. Haiwan yang tak berakal tidak berfikir panjang untuk mencapainya namun bila sudah terperangkap mulalah gelisah bagai dan panik mencari jalan keluar. Sayangnya, dah terlambat!

Again. Apa yang kita kejarkan? Kenapa begitu terburu-buru? Kenapa diturutkan sangat nafsu tu? Kepuasan yang kita dapat hasil dari jalan singkat yang kita ambil hanyalah kepuasan yang bersifat sangat-sangat sementara. Tiada kepuasan. Tiada apa yang nak dibanggakan..

Mungkin kita tidak sedar, dalam pada kita berusaha mengejar cita-cita, akan sentiasa ada peristiwa-peristiwa sampingan yang bakal kita lalui. Dan daripada situlah kita akan belajar pelbagai nilai kehidupan.

Bawa duit berjuta, rasuah orang atasan untuk naikkan pangkat kita. Kalau dia mata duitan, mungkin tercapai la matlamatnya. Dengan cara yang singkat dan keji. Dan orang akan sentiasa memandang jelek padanya kelak. Namun bagaimana pula jika kita kerja sungguh-sungguh, jujur, amanah dan berdedikasi serta berintegriti? Orang akan senang dengan kesungguhan kita dan jika ada rezeki naik pangkat, tiada siapa yang dengki dengan pencapaian kita kerana di mata mereka "ya, dia sememangnya layak untuk jawatan tersebut". Aman, bukan?

My point is.. bersabarlah. Jangan terburu-buru. Just take it slowly. Memanglah penantian itu satu penyiksaan tapi di situ juga letaknya kenikmatan. Saya sabar, awak sabar, kita sama-sama sabar.

Sabar, sabar dan sabar.
...serta banyakkan berdoa juga~ ^^

Saturday, January 8, 2011

Tak Jauh

Anda dengar! Aku yakin anda dengar. Tapi anda duduk sahaja di situ, membatu, seolah-olah pendengaran dan kesedaran anda tertutup walaupun telinga anda terbuka. Tak jauh pun. Tak sempat berpeluh pun. Jika berjalan ke sana, anda akan tiba sebelum pun jarum saat itu sempat melengkapkan pusingannya. Sangat dekat. Tapi yang dekat itu sebenarnya jauh bagi anda.

Dan setiap kali aku pergi, aku akan melihat ke arah jam. Apabila pulang, aku lihat sekali lagi. Cuma 10 minit. Mungkin lebih sedikit, mungkin kurang sedikit. Tapi urusannya tidak pernah melebihi 15 minit.

Sebaliknya, kalau diajak menonton di layar gergasi.. 
1. Segera bersetuju = tak sampai 2 saat
2. Mandi = 5 minit
3. Mengenakan pakaian yang sesuai = 5 minit
4. Merapikan diri, deodorant, minyak rambut, sikat, sedikit minyak wangi.. = 10 minit. 
5. Memeriksa dompet dan phone = 2 minit. 
6. Berjalan ke tempat menunggu pengangkutan awam = 2 minit. 
7. Menunggu teksi = 5-10 minit. 
8. Perjalanan ke destinasi = 10 minit. 
9. Beratur dan membeli tiket = 5 minit. 
10. Makan sebelum tayangan bermula = 30 minit. 
11. Duduk sahaja dan memandang ke layar gergasi... = 2 jam. 
12. Keluar dan berjalan ke tempat menunggu teksi = 10 minit. 
13. Menunggu teksi = 10-20 minit.
14. Perjalanan pulang = 10 minit.
15. Dari pintu teksi ke pintu rumah = 2 minit.

Jumlah = 3 jam 46 minit hingga 4 jam..
Perasaan? Sangat puas hati, gembira, tersenyum girang.

Apalah sangat 15 minit jika hendak dibandingkan dengan 4 jam. Tapi 15 minit itu terasa sangat lama seperti sehari. Sedangkan 4 jam itu seolah-olah tidak terasa pemergiannya. Sungguh pandai mereka mempermainkan hati dan akalmu.

"Kau tu, macamlah baik sangat"
Ya, aku juga tidak sempurna. Aku juga adakalanya gagal melengkapkan yang 5 itu di situ. Kadang-kadang cuma 4. Adakalanya 3. Mungkin sahaja 2, 1 atau tiada langsung. Tapi adakah aku patokan anda? Apakah anda menunggu aku mendapat ilham dari langit barulah kata-kata dan ajakan ku dipertimbangkan? Itu tidak mungkin terjadi..

Tempat anda di situ.. melainkan ada seorang wanita, maka anda terkecuali.

Sedangkan si buta juga tidak terlepas dari perintah. Walaupun rumahnya jauh, tetapi kerana dia masih mampu mendengar seruan itu..dia tetap disuruh ke situ.

Apakah alasan kita sekarang..?



Tuesday, January 4, 2011

Hampir Maghrib..

Usianya aku kira sudah terlalu lanjut. Tapi masih gagah untuk berjalan ke sana ke mari. Biasanya ramai yang seusia begitu aku lihat lebih menumpukan kehidupan mereka di tikar-tikar sejadah, di masjid-masjid. Apabila subuh, berlumba-lumba mereka ke sana biarpun ada yang terpaksa bertongkat dan terbongkok-bongkok.

Tapi dia lain, dia masuk melalui pintu kaca tersebut dan beratur di belakangku sambil memegang syiling yang banyak. Sepertinya dia mengumpul syiling-syiling itu dengan bersusah payah. Tiba-tiba aku terbayang sekujur tubuh tua sedang terbongkok-bongkok mengutip syiling di celahan almari. Kemudian tercari-cari syiling di timbunan surat-surat di atas meja. Ataupun mengorek-ngorek dompet usangnya untuk mengeluarkan sisa-sisa syiling yang ada. Penuh kesungguhan..

Namun aku hairan apabila dia beratur sahaja tanpa memegang apa-apa untuk dibayar. "Owh, mungkin barang yang mahu dibelinya berada di kaunter pembayaran. Mungkin pencukur rambut agaknya", aku membuat andaian.

Apabila selesai urusanku dengan cashier muda tersebut, aku terdengar si tua itu. Jari telunjuk kanannya bengkok, sedikit bergetar ketika menunding ke arah sesuatu. Namun masih jelas ke mana arah yang ditunjuknya. Dia memesan sesuatu dan kemudian terbatuk-batuk. Bait-baitnya jelas walaupun suaranya tersekat-sekat. 

"Sampoerna merah"

Urusanku telah selesai di kedai itu, wahai pakcik.. atau atok, mungkin lebih tepat. Tapi bagaimana denganmu? Apa sebenarnya yang kau cari di senja usiamu ini...? 

Monday, January 3, 2011

Dekati

Memang benar. Bukan tidak mampu, tetapi tidak mahu.

Yang sedap tak semestinya berkhasiat dan yang berkhasiat tak semestinya sedap. Terpulang pada diri sendiri untuk menilainya. Kita asyik kata, tak mampu nak menahan diri, ianya terlalu menggoda sehingga membuatkan diri lemah terhadapnya. Bohong! Bohong! Bohong!

Memanglah gula-gula itu manis dan sedap, tetapi ia juga tidak berkhasiat. Boleh merosakkan gigi, meningkatkan kadar gula darah dan mungkin menyebabkan pelbagai lagi penyakit lain jika pemakanannya tidak terkawal.

Kita tahu keburukan sesuatu itu, tetapi lebih mendalam pengetahuan kita, lebih indah pula ianya terlihat di mata. Jika sudah tahu dan sedar alangkah pentingnya kita untuk menjauhi dan menghindarinya, kenapa kita masih melakukan tindakan yang bertentangan dengan kesedaran kita?

Jika ianya mendatangkan mudarat kepada kita, jangan sekadar berkata "aku mahu menjauhinya" tetapi lakukan dengan sesungguh-sungguhnya! Kadang-kala kita tidak sedar bahawa yang melemahkan kita bukan subjek itu semata-mata tetapi perkara yang membawa kita kepada subjek tersebut.

Kita tidak mahu makan gula-gula lagi, maka jangan berfikir mengenainya. Campakkan fikiran kita jauh daripadanya. Jangan melakukan sesuatu yang membawanya masuk ke fikiran kita. Pejam mata dari melihatnya, tutup telinga dari mendengar mengenainya, cegah jari-jemari dari mencari maklumat mengenainya.

Kita tak sedar.. Arahannya adalah "janganlah kamu mendekati.." bukannya "janganlah kamu melakukannya". Itulah fokusnya. Tetapi kita ego. Kita kata, Asalkan aku tidak melakukannya, semuanya akan baik-baik. Itulah kita. Ada mata tetapi buta. Ada telinga tetapi pekak.

Sunday, December 19, 2010

Jalan

Ada satu garis lurus. Boleh la kita andaikan seperti sebuah denai. Hanya lurus.. sejauh mata memandang. Dan ada pula seorang pengembara. Dia berjalan merentasi denai tersebut. Setapak demi setapak tanpa rasa jemu. Di kiri dan kanannya ada semak dan samun.. duri dari pohon lain tapi tak mengapalah. Denai yang dilaluinya itu sangat jelas dan terang. Mungkin ada puluhan malah ratusan orang pernah melalui denai tersebut sehinggakan denai tersebut kelihatan begitu jelas. Dia tidak tahu apa yang tersedia untuknya di penghujung denai tersebut. Dan dia terus melangkah..

Tiba-tiba hati kecilnya terdetik..

"agaknya apa yang ada di sebalik semak samun di kiri dan kanan aku ini?"

Agak lama dia berfikir.. apakah patut dia cuba memasuki semak tersebut, atau tetap berjalan di atas denai itu? Akhirnya dia membuat keputusan. Dia mahu beralih arah. Tak banyak pun. Sikiiiiiiiiit je. Desis hatinya mengatakan.. "tak mengapa, aku tak beralih terlalu jauh"

Dan dia meneruskan langkahnya ke arah yang baru itu. Kalau mengikut kompasnya, arah itu hanyalah 1 degree ke kanan dari arah asalnya. Cuma satu degree.. apalah sangat. Kerana terlalu teruja, dia terus melangkah dan melangkah untuk mengetahui apa yang ada di depannya. 

Di sepanjang perjalanannya, die menemui berbagai jenis buah-buahan hutan yang menyelerakan, bunga-bungaan yang indah serta air terjun yang memukau pandangan. Dia melonjak girang. Namun.. masih ada kerisauan di hatinya. "Adakah aku boleh pulang ke denai tadi?"

Dia berjalan dan terus berjalan. Di hadapannya penuh dengan kegembiraan dan keindahan. Ya, memang dia risau.. tapi hatinya kuat mengatakan.. "tak mengapa, aku kan cuma beralih arah sedikit sahaja. Apa nak dirisaukan, nanti dengan mudah aku boleh kembali ke denai tersebut"

Setelah sekian lama.. jiwanya kosong. Di sekelilingnya penuh dengan keindahan tapi.. apa gunanya? Dia cuma berjalan tanpa arah tujuan. Tidak tahu ke mana. Adakah jalan tersebut ada penghujungnya? Adakah dia akan terus berjalan sampai bila-bila? Dia tidak tahu. Datang kesayuan di hatinya..

"Kalaulah aku tetap berada di denai tersebut, pasti aku akan menemui sesuatu di penghujungnya. Di sini biarpun aku gembira, tetapi perjalananku kosong tiada tujuan. Apa yang aku cari? Apa tujuan perjalanan ku ini?.. Oh.. aku ingin kembali"

Akhirnya dia membuat keputusan untuk kembali. Namun, jalan yang dilaluinya itu tidak ada sebarang kesan. Dia tidak tahu ke mana harus dia melangkah untuk kembali. Dia sudah sesat. Dia sudah terlalu jauh dari denai tersebut. Sangkaannya bahawa "hanya beralih arah sedikit" akhirnya memakan diri.

Denai itu tetap di situ. Tak berganjak sedikit pun. Memang itulah sahaja jalan yang ada dan setiap yang melaluinya pasti akan sampai ke suatu destinasi yang sama. Tapi apa terjadi jika dia cuba pandai-pandai nak buat jalan sendiri? 





Jangan menyimpang walau sedikit..
Dan jangan lari jauh sangat...

Sunday, December 12, 2010

Lemah

Sangat lemah! Rasa sangat lemah!
Kenapa? Sebab kurang minum susu, maka tulang jadi lemah? atau kurang makan protein maka kurang pembentukan otot? Bukan.. bukan. Bukan lemah yang tu. Bukan lemah, tapi rasa lemah..

Bila kita buat something yang kita tau kita patutnya tak patut buat, or buat something yang hati kita mati-mati kata "jangan buat!!!" itulah tanda kelemahan kita. Kita tahu apa yang kita patut buat dan apa yang kita tak patut buat. Tapi sebab kita rasa best, kita buat-buat tak tahu akan semua itu. Itulah dia. Kita sangat lemah..

"Sikit tak apa, asalkan tak over". Kita pujuk diri kita dengan ayat sebegitu padahal kita tidak sedar bahawa kita telah masuk ke perangkap mereka! 

Menara berkembar tidak terus ada begitu sahaja tetapi pembinaannya bermula dengan seketul bata yang kecil. Bila bata tersebut ditindih satu persatu.. ianya akan membesar dan menjadi sebuah bangunan. Dan bila bangunan tersebut telah kukuh, adakah kita mampu me'roboh'kannya DENGAN BAIK dalam masa sehari? Adakah kita mampu merobohkannya seperti mana kita membinanya? Mencabut satu persatu batu bata tersebut sehingga ke bata yang terakhir? Ya, boleh.. tapi mengambil masa yang lama. Andai kita memaksa untuk merobohkannya dalam sehari.. runtuhlah ia. Penuh tragis, mungkin mengorbankan jutaan nyawa juga.

Samalah dengan ini. Apa yang kita rasakan "sikit" itu.. itulah permulaannya. Ianya akan terus berkembang dan berkembang. Sehinggalah suatu hari nanti, kita tidak sedar bahawa ianya telah menjadi sangat besar sampaikan kita tak mampu nak tarik balik apa yang telah kita lakukan. Kalau pun kita mahu mengembalikannya ke titik awal.. ianya akan mengambil masa. Bukan dalam sehari. Dan semestinya tak boleh dibuat dengan paksaan.. bimbang hancur dan terluka.

Jadi, adalah lebih baik jika kita tidak memulakannya. Afterall, kita memang belum berhak untuk semua itu. Tak patut!!! Tak patut!!! Tak patut!!!

Minta maaf..
Ianya takkan terjadi lagi..





P/s: Dahsyatnya ujian ini... :'(

Saturday, December 4, 2010

Jangan Takut Jarum


Kalau memang dah sampai ajal, meninggal la~
Nak nangis ke, nak sedih ke, nak jerit-jerit ke, yang mati tetap akan mati. Sia-sia je nak sedih bagai or menangis sakan melainkan tangisan tu boleh menghidupkan si mati tu. Mati itu pasti, hidup itu insyaAllah. Bila akan mati, itu yang menjadi misteri. Sehebat mana pun seseorang tu, sekaya mana pun dia, walaupun dia mampu membeli sebuah negara, walaupun dia mampu mengadakan apa sahaja yang tak mampu diadakan orang lain.. kesudahannya, bila ajalnya sampai.. dia takkan mampu membeli ubat anti-kematian. Atau mengadakan ubat hidup-kekal. Mustahil, mustahil, mustahil!

Benar, kalau dah sampai ajal, nak x nak, kita cuma ada satu pilihan. Menerima dengan redha. Lagipun, insan tu bukannye hak milik kita sepenuhnya. Dia dipinjamkan je.

Kita pinjam duit sejuta dari kawan kita. Kesudahannya nanti, kita kena pulangkan balik. Nak sedih ke, nak nangis ke... duit dia. Tak rasa macam pelik ke kalau nangis-nangis sakan? Macamana pula kalau kita yang kasi pinjam dan kemudian org tu tak nak pulangkan. Marah tak? Atau pun dia pulangkan, tapi dengan perasaan sedih, tak redha, marah-marah.. Ada kita kesah? Memang duit kita, tak kisah la dia nak rasa apa. Kita tak salah apa-apa pun~

Seseorang pernah kata pada aku,
"kalau asip mati, mati la. Nak buat macamana kan.."
"tak sedih, tak nangis?"
"sedih tu memang la sedih tapi, takde la sampai nak nangis teruk-teruk kot. Memang dah sampai ajal. Terima je la, hidup macam biasa.."

Seriously, aku tak kisah kalau orang-orang di sekeliling aku mati. Bukan la tak ambil peduli, tapi dari sudut perasaan, aku tak rasa aku patut bersedih sehingga sedemikian rupa. Yang pergi biarkan pergi, yang hidup teruskan hidup. Sebab yang pergi takkan hidup lagi dan yang hidup tak tau bila akan pergi.. So, live your life to the fullest. Fikirkan pasal kematian anda. Jangan fikir pasal kematian orang lain. Dia dah settle dah~

Dan bila yang kata pada aku itu adalah tidak lain ibuku sendiri.. aku terfikir akan semua ini. Aku juga mahu setabah itu!


"Sedih tu memang la sedih, tapi takde la mak nak nangis teruk-teruk. Mak tengok je la kau pergi, lepas tu mak balik, masak macam biasa. Bukannya boleh hidup balik kalau nangis-nangis.."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...