Wednesday, December 14, 2011

Kembali


Optional: Play lagu ini, dan biarkan ianya berputar..

1. Kadang-kadang aku tertanya-tanya..
Kita melakukan suatu dosa. Dan kita menyesal akan perbuatan kita lalu sujud bertaubat, taubat dengan sebenar-benar taubat. Berazam dan berjanji tidak mahu mengulanginya..

Namun, yang dinamakan manusia, tak boleh lari dari alpa dan lupa. Kita tidak maksum. Kita lakukan lagi dosa yang sama, lagi dan lagi. Menyesal, bertaubat. Lagi dan lagi..

Persoalannya, adakah kita tahu sama ada taubat kita diterima atau tidak? Memohon keampunan itu wajib, namun mendapat pengampunan atau tidak, tak siapa tahu. Dan memandangkan kita tidak tahu, wajarkah kita bersenang lenang? Bagaimana kita boleh tidur dengan tenang dalam dosa? Tergamak sungguh kita. Tenang tak bertempat.. Bagaimana jika dosa kita tidak diampunkan, dan kita mati sebelum diampunkan dosa? Apa ertinya hidup di dunia ini..?


2. Katakan kita ada seorang kawan. Entah mengapa, kita sering sahaja menyakiti perasaannya. Lagi dan lagi. Saban waktu, ada sahaja perkara yang kita lakukan yang menyinggung perasaannya. Dan kita bukan lakukan di luar sedar, kita tahu kita menyinggungnya, namun tetap sahaja terus melakukannya.

Satu hari.. kita berada dalam kesusahan. Tiada siapa di situ melainkan dia. Kita amat memerlukan pertolongannya, namun.. ketika itu, terkenanglah kita akan kejahatan-kejahatan yang kita lakukan padanya. Apa perasaan kita? Tak malukah kita nak minta pertolongan darinya begitu sahaja? Tidakkah kita ada rasa seperti.. nak minta maaf terlebih dahulu sebelum minta tolong?

Aku tertanya-tanya.. Kita sedar banyak dosa yang kita lakukan. Berburuk sangka, dedahkan aurat, ringankan solat, membuang masa, mensia-siakan nikmat waktu dan kesihatan dsb. Saban hari, kita melakukannya lagi dan lagi. Kemudian, tanpa segan silu, bila dalam kesusahan.. kita berdoa meminta sesuatu. Tak malukah kita?


3. Kita dalam kesusahan. Di sisi kita ada seseorang yang kita yakin dia boleh membantu. Dan kita tahu kita tak boleh menyelesaikan masalah itu sendirian. Tatkala mahu meminta pertolongan.. kita berhenti. Ego kita berkata.. aku tak perlu minta pertolongan. Akhirnya kita susahkan diri sendiri.

Ya, benar. Apabila kita minta pertolongan, peluang untuk ditolong adalah 50-50 tergantung pada budi bicara penolong, nak tolong atau tidak. Tapi jika kita sombong tak mahu minta tolong wal hal kita tahu kita tidak mampu.. peluang untuk tidak ditolong mungkin adalah 100%. Kenapa? Kerana kita sombong..

Dan kita semua tahu.. sebaik-baik penolong adalah Allah.. Kenapa sombong sangat tidak mahu berdoa? Sedangkan kita tahu, tanpa pertolongan Allah, nak angkat kelopak mata pun kita tidak akan mampu. Kenapa sombong sangat..?




Tak mahu bertaubat.. Tak malu nak mohon pertolongan walhal tahu diri kotor dengan dosa.. Dan sombong tidak mahu berdoa sama sekali..


Kita tahu kita akan kembali kepadaNya..
Tapi kita tidak pernah tahu bagaimana kesudahan kita..
..bagaimana keadaan kita sewaktu kembali kelak..

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...