Friday, November 30, 2012

Rejeki Kau, Siapa Yang Kasi?

 
Kadang-kadang tu, waktu solat maghrib, aku selalu sampai lambat. Bukan sebab masjid jauh dari rumah, tapi terleka dengan perkara-perkara yang melekakan. Waktu masuk ke perkarangan masjid, terlihat beberapa orang pakcik sedang solat maghrib sendirian meskipun di hadapan masih ada jemaah.

Aku cam pakcik-pakcik ni. Seorang penjual sate dorongan. Seorang lagi peniaga pecel di simpang tiga nun. Yang menjadi pertanyaan, kenapa mereka solat sendiri. Dah sampai masjid, di awal waktu, namun memilih untuk bersendirian.

Bukan aku tidak tahu kenapa, cuma tidak faham. Mereka adalah peniaga muslim. Untuk menjimatkan waktu kerana bimbang akan perniagaan mereka, mereka solat sendiri.

Nah. Cuba fikirkan. Rezeki siapa yang beri? Kita terkejar-kejar, nak cepat habis solat sebab nak mengejar dunia. Malah kita meninggalkan solat berjemaah. Padahal semua sedia maklum bahawa rezeki itu Allah yang beri. Kita tidak mendapat lebih atau kurang sedikit pun melainkan dari apa yang telah Allah tetapkan.

Jadi apa nak risau? Rezeki telah tertulis. Adakah kita takut pelanggan lari sebab kita lambat meniaga? Atau adakah kita takut masa untuk kita meniaga berkurang disebabkan kita meluangkan masa solat berjemaah?

Ya, pelanggan mungkin lari. Masa berniaga akan berkurang. Tapi begitu berpengaruhkah? Kita sama sekali tidak tahu dari jalan mana rezeki Allah akan diturunkan. Boleh jadi 2,3 pelanggan yang lari cuma mahu membeli sebungkus nasi, kita rugi sebungkus. Boleh jadi kemudian datang seorang pelanggan yang membeli 10 bungkus sekaligus, kita untung lebih banyak. Rezeki itu rahsia Allah. Kita tidak perlu risau kekurangan rezeki. Allah akan cukupkan rezeki kita, malah dari jalan yang tidak disangka-sangka. Syaratnya, tunaikanlah apa yang diperintahkan Allah. Selebihnya, berserah diri kepada Allah. Itu sahaja.

Monday, November 26, 2012

Ermmm.. No, Thanks




Karim kata waktu tahiyat, jari gerak-gerak. Salman kata, waktu tahiyat, jari tak bergerak. Dan mereka pun berdebat. Masing-masing keluarkan dalil dan hujah. Selama dua jam berbalah, tiada tanda-tanda sesiapa mahu mengalah. Kedua mereka tetap mempertahankan pendapat mereka.

Baik. Apa sebenarnya yang berlaku ya? Kenapa kita berdebat? Dan kenapa kesudahannya terjadi tegang urat dan masam muka?

Sudah namanya pun pendapat, maka ianya sentiasa benar pada suatu pihak walaupun disangkal pihak lain. Jadi, untuk apa diteruskan berdebatan. Kenapa tidak difikirkan satu topik yang masing-masing setuju lalu dikongsi bersama topik tersebut?

Aku tak suka makan durian. Kau penggila durian. Lalu ketika kau makan durian, aku pening dan loya. Kau yang melihat situasi tersebut kemudiannya tidak lagi makan durian ketika aku berada di sekitar. Jika dalam situasi ini, kita boleh saling menghormati perbezaan pendapat dan persepsi. Namun, kenapa bila terdapat perbezaan pendapat dalam hukum agama, kita saling bertelagah dan bertikam lidah?

Kau punya dalil. Aku punya dalil. Jadi tiada siapa yang salah. Kau teruskanlah apa yang kau yakin betul itu, tapi hormatilah pendapatku. Jika pada aku, babi dan anjing itu tidak perlu samak jika dipegang dan aku memberikan hujah dan dalilku, maka tak perlu dipertikai. Jika padamu, babi dan anjing itu perlu disamak jika tersentuh dan engkau meyakininya, maka teruskan. Tiada siapa yang sesat. Masing-masing punya hujah.

Same thing goes to kenapa aku tak mahu bergambar. Ada pendapat kata boleh (tapi aku belum jumpa dalilnya) dan ada yang kata tak boleh berdasarkan hadith nabi

Sesungguhnya mereka yang membuat gambar-gambar akan disiksa pada hari kiamat. Akan dikatakan kepada mereka, “Hidupkanlah apa yang kalian ciptakan.”
(HR. Bukhari no. 5961 dan Muslim no. 5535)

Dan banyak hadith-hadith lain. Untuk pembahasan ringkas: 


Untuk pendapat yang mengatakan boleh, kebanyakannya mengambil pendapat ulama’ seperti Yusuf Qaradhawi.

Kalau aku, aku berpegang kepada pendapat tak boleh sebab aku nampak dan yakin dengan hadith serta pembahasan yang diberikan. Serta aku nampak lebih banyak kebaikan berbanding keburukan bila tak ambil gambar.

Pun begitu, kita semua bebas menilai. Masing-masing Allah kurniakan akal untuk berfikir. Maka, jika ada yang nak berpegang kepada hukum boleh bergambar, itu terserah. Cumanya, bila kita dah tahu tentang pendirian seseorang, yang boleh kita lakukan hanyalah memaklumkan (jika kita rasa pendapat kita lebih kuat). Tapi jika dia kuat berpegang dengan pendapatnya, maka hormatilah dan jangan paksakan dia untuk menurut pendapat kita melainkan pegangannya memang jelas menyimpang.

Bagaimana nak menghormati dan menerima pendirian/pendapat orang lain? caranya mudah, kalau dia tak suka makan timun, jangan paksa dia makan timun sekalipun timun itu enak bagi kita. Kalau dia tak suka diambil gambar, jangan paksa dia bergambar. Sekalipun bergambar itu menyeronokkan bagi kita, mungkin pada dia, tidak.

Adakah cukup sekadar itu? Tidak. Kalau kita tak paksa dia makan timun, tapi di belakangnya kita mengumpat dan mengata.. itu tidak menghormati dan tidak sepenuhnya menerima namanya. Apa dosanya sehingga dia dijadikan bahan umpatan? Adakah dia firaun? Adakah dia yahudi? Tidak.. dia cuma mahu yang terbaik untuk dirinya. Kita semua mahukan yang terbaik. Dan yang terbaik bagi kita adalah redha Allah dan ganjaran syurga. Adakah berusaha untuk meraihnya merupakan suatu kesalahan?

Sekian. Allahu’alam..

Selisih Atau Tidak?


Sejak kecil lagi, fikiran kita telah disuntik oleh idea "solat berjemaah itu sunat". Dan kita pun solat di rumah karena ianya tidak wajib. Bagaimana jika suatu hari, kita didatangkan dengan perkhabaran bahwa "solat berjemaah di masjid itu wajib bagi lelaki" (disertai dalil-dalil sahih atau kalau malas nak cari, google sahaja "kewajiban solat berjemaah"). Adakah kita akan dengar dan taat?

Sejak dahulu lagi, kita dibesarkan dengan idea "menyimpan janggut itu sunat". Bila kita besar, kita cukur janggut kita karena ianya tidak wajib disimpan dan agar kelihatan kacak. Bagaimana jika suatu hari, kita diberitahu bahwa "menyimpan janggut adalah wajib" (dan disepakati oleh SEMUA imam mazhab). Adakah kita akan dengar dan taat?

Bagaimana jika baaaaanyak lagi perkara-perkara lain dalam kehidupan ini yang kita yakini sunat selama ini, ternyata adalah wajib? Bahkan dalil-dalilnya cukup sahih dan jelas. Adakah kita tetap dengan pendirian bahwa itu semua sunat? Tak mengapa jika tidak dilaksanakan?


Nabi kita berbangsa arab, bertutur dalam bahasa arab. Al-Quran kita berbahasa arab. Dan sekalipun ada masyarakat yang benar-benar faham mengenai bahasa hadith dan al-Quran, sudah pasti masyarakat arab sendiri.

Para sahabat terlalu ramai yang bertebaran di muka bumi untuk menyampaikan syiar Islam, seperti banyaknya bintang-bintang di langit. Tapi, masih banyak juga para sahabat yang tetap berada di kota suci Mekah dan Madinah menyambung dakwah nabi kita.

Sabahat yang berdakwah di luar kota itu, adakah kita yakin bahwa apa yang disampaikannya pada hari itu... akan kekal 100% tanpa sedikit pun berubah sekalipun telah 1000 tahun berlalu? Tidak, pasti akan ada percampuran budaya agama lain seperti hindu, nasrani dsb. Lihatlah sendiri di sekeliling kita..

Berbanding dengan sahabat di dalam kota, dakwahnya masih utuh karena sekalipun ada yang terlupa akan sesuatu, masih ramai sahabat lain ada untuk mengingatkannya. Dan ajaran yang disampai oleh nabi kita diturunkan langsung dari seorang guru ke anak muridnya, ke anak muridnya dan seterusnya.

Jadi apabila berhadapan dengan suatu perselisihan pendapat mengenai agama, siapakah yang terbaik untuk kita dapatkan rujukan? Adakah turun-temurun nenek moyang kita yang sudah pasti bukan ajaran murni Islam karena terdapat percampuran budaya agama lain? Atau pendapat mereka yang benar-benar memahami bahasa hadith dan al-Quran?

Sekalipun ada para ustaz yang belajar dari Mesir, Jordan dsb, jika pun mereka mendengar akan hadith-hadith nabi, adakah mereka 100% taat? Atau mereka mengubah maksud hadith nabi itu demi kepentingan mereka?

Berapa ramai ustaz yang pada hari ini, bila diperdengarkan suatu hadith, mereka berkata...
"itu bukan yang nabi maksudkan"
"saya RASA, yang nabi maksudkan adalah..."

now what? mereka lebih faham daripada nabi sendiri? Dalam isu bergambar contohnya, jika di arab mereka semua (mufti dan para ulama') sepakat menyatakan bahwa mengambil gambar (hidupan sprt manusia dan haiwan) adalah haram kerana ia menyanggahi hadith nabi yang bermaksud..

Diriwayatkan oleh imam Muslim, Sabda Nabi berbunyi, "Sesungguhnya orang yang paling berat siksaannya nanti di hari khiamat ialah orang-orang yang menggambar"


..namun bila hadith itu masuk ke negara kita, para ustaz mengeluarkan pendapat "oh, itu kesalahan bahasa orang arab. Yang nabi maksudkan adalah melukis potret. Bukan mengambil gambar. Dalam bahasa arab, kata dasar untuk perkataan kamera adalah gambar. Jadi bukanlah gambar yang sebenarnya. Lagipun kita bukan meniru ciptaan Allah, tindakan kita hanya menekan punat kamera, dan gambar yang terhasil adalah akibat tindak balas antara cahaya dan mekanisme kamera itu sendiri" dan byk lagi jawapan ilmiah lain yang meyakinkan..

Pendapat yang diberikan adalah bagi membenarkan tindakan mereka, agar mereka diterima oleh masyarakat. Cuba kalau mereka bersetuju akan pengharaman gambar, menyatakan bahwa mengambil gambar itu haram, agaknya bagaimana reaksi masyarakat? Sudah pasti dia akan dicerca masyarakat..

Pun begitu, sudah menjadi norma masyarakat kita yang sopan dan santun, tidak mahu perpecahan.. maka bila datangnya perkara seperti itu, jawapan mudahnya adalah "perkara ini merupakan perselisihan pendapat" seolah-olah mereka mengatakan "tak mengapa, sila la buat yang mana kita suka"

Jadi kalau rasa itu perbezaan pendapat, maka tak perlu la ada tegang urat nak berdebat bagai, kan? Terimalah pendapatnya jika jelas tidak menyanggahi Allah dan Rasul-Nya.. tak gitu?

Allahua'lam

Sunday, November 25, 2012

Lebay


Hari ni aku ternampak ada seorang pakcik ni menadah tangan sambil bergambar depan kubur ulama' mana entah. Dekat bawah ada caption tulis "ambil berkat". Seriusli aku tak faham, dia ambil berkat apa? Dapat dari mana? Siapa yang kasi berkat tu?

Aneh sungguh. Ianya sama seperti sepasang kekasih yang belum ada apa-apa ikatan, ambil gambar bersama-sama dalam keadaan aurat terdedah dan gaya yang memalukan mak ayah.. lalu post dalam fabecook dan meletak caption "semoga Tuhan memberkati hubungan cinta kami"

Pada aku, bergambar (manusia dan haiwan) tu sendiri dah haram. Haah, aku tak salah tulis. Aku berpegang pada pendapat tu, so tak perlu nak sentap dan tiba-tiba jadi ulama' segera dengan memberikan dalil-dalil atau pendapat-pendapat yang membolehkan ambil gambar sebab aku pun ada hujah aku tapi kalau orang sah-sah tak nak terima, tak perlu nak debat. Btw kau boleh cari sendiri kat internet hujah aku tu.

Kemudian bergambar pula depan/dengan sesuatu yang jelas-jelas haram. Apa kejadahnya ambil gambar kubur? Dan dah sah-sah la laki/pompuan tu bukan suami/isteri dia. Mana boleh peluk-peluk. Aurat pula ke mana?

Lalu berdoa meminta diberkati? Sifir mana dia pakai?

Ok la, aku ajar sifir mudah. Budak kecik pun boleh faham.

Ibu kata dekat Amin, kalau nakal, pukul anak jiran sebelah, ibu tak belikan aiskrim seperti mana ibu biasa belikan setiap dua minggu sekali. Tapi disebabkan anak jiran perangai buruk, suka buat muka itik masa ambil gambar dalam bilik air, lalu post dekat fb dan tag Amin, lalu Amin pun menumbuk muka anak jiran tersebut. Setelah itu, Amin ambil gambar anak jiran yang dah berdarah giginya, dan tunjuk pada ibu. Kemudian Amin meminta aiskrim. Adakah ibu akan memberikan Amin aiskrim?

Tidak, ibu tidak belikan Amin aiskrim. Walaupun niat Amin baik, nak memberikan pendidikan kepada anak jiran sebelah, tapi cara Amin salah. Dan Amin tidak mendapatkan ganjaran dari ibunya.

Begitu juga dengan keberkatan. Kau tak boleh berdoa minta diturunkan berkat atas kemaksiatan atau perkara bid'ah yang kau lakukan. Ibadah ni, ibadah la. Sesuatu tu jadi ibadah bila dilakukan sesuai contoh. Ada dalil. Bila dibuat sesuka hati, macam menari-nari masa berzikir, dah tak jadi ibadah. Malah jadi maksiat.


So, satu lagi kes. Bersanding tu kalau dalam Islam, apa hukumnya? Yang aku baca dan faham, haram. Jadi, adakah terdapat keberkatan di situ?

Friday, November 23, 2012

Kritik


Selalunya di bawah video kat youtube, akan ada peperangan komen sekiranya lagu/video tu aneh dan pelik. Pihak yang suka akan bermatian kata lagu tu best, yang tak suka berhempas pulas nak meyakinkan masyarakat bahwa lagu tu sampah.

Akhirnya, pihak pro akan berkata, “kalau tak suka, jangan la dengar!”

Aku rasa kasihan dengan pihak pro ni, sebab aku rasa dia bebalicious. Tapi tak baik kata orang bebal, so.. aku rasa dia orang sengal.

Macam mana nak menidak-dengarkan sesuatu yang kita dah dengar? Dah tentu la orang yang anti tu kena dengar dulu sebelum buat penilaian. Kalau dia tak dengar, dia tak akan tahu lagu tu best atau sampah. Logik tak?

Dan tak perlu la nak berapi sangat. Telinga dia kat kepala dia, telinga kau kat kepala kau. Kalau kau rasa best, dia rasa tak sedap, kenapa nak marah? Kau tak pernah dengar istilah subjektiviti? Aku pertama faham perkataan tu waktu darjah satu. Kalau tak penah dengar, bukak kamus.

Lagipun, bukan dia kritik suara kau pun.

Sekali pun tu video kau menyanyi, apa salahnya dia nak kritik? Kau dewa lagu ke? Dewi musik? Dah tentu la ada telinga yang tak masuk dengan suara dan lagu kau. Bila dia kritik, kau terasa. Sebab apa? Sebab kau rasa suara kau bertaraf juara nyanyian peringkat galaksi, gitu?

Kesimpulannya, mengkritik tak salah dan secara logiknya tak perlu terasa. Tapi kalau terasa, itu adalah kerana.. 

E.G.O

Dah la suara katak, egois pulak tu hahaha

Tuesday, April 17, 2012

Air

Minum air memanglah bagus untuk kesihatan. Sehari lapan botol kalau tak silap. Jadi bagi yang lurus tu, sila la minum 8 kali sehari iaitu 3 jam sekali. Setkan alarm demi kesihatan.

Air yang diminum pula tidak boleh sebarang air. Misalnya air longkang. Jarang ada yang minum air longkang dengan niat untuk mendapatkan kesegaran tubuh. Ada pun yang minum, itu mungkin sebab terpaksa, gara-gara eksiden motor, kepala masuk longkang. Itu pun jarang ada yang terminum sampai lapan botol.

Bagi orang-orang tertentu.. adakalanya minum air merupakan sesuatu yang sukar sekali untuk dilakukan. Minum hanya apabila teringat. Lepas makan, kalau teringat, minum la. Kalau tak ingat, tunggu la sampai masuk waktu solat. Bila air wudhu kena muka, baru la teringat nak minum air.

Tapi kadang-kadang, walaupun teringat, tetap malas nak minum air. Alasannya, kalau minum air, nanti kena pergi kencing. Kalau nak kencing kena masuk tandas. Kalau nak masuk tandas, harus bukak baju seluar semua, pakai towel (haah, memang ada orang macam ni), melainkan dalam keadaan terpaksa seperti kes ingin kencing di kampus atau mana-mana tempat yang jauh dari rumah, yang itu tak apa. Diberi pengecualian. Tapi balik rumah nanti harus mandi.

Pun begitu.. minum air boleh jadi sangat membantu apabila ingin bangun tidur. Air yang diminum biasanya akan memenuhi kandung kemih dan memberikan sensasi ingin berkemih kira-kira 2 jam setelah minum (aku main sebut je). Jadi kalau rasa-rasa nak tidur kejap je.. minumlah air. Nescaya anda akan terjaga kerana terpaksa ke tandas. Bagaimanapun, alarm semulajadi ini tidak memberi kesan kepada pengencing dalam seluar.

Monday, April 16, 2012

Assignment

Waktu aku kecik dahulu, aku selalu rasa kagum bila tengok abang-abang dan kakak-kakak matriks mahupun universiti buat assignment. Aku rasa mereka sangat cool waktu merenung buku-buku yang tebal, kemudian mencatat isi-isi penting dan seterusnya mengetik di komputer. Assignment yang panjang berjela-jela itu membuatkan aku rasa.. "oh pandainya merekaaa~"

Bila aku dah besar sedikit, dah masuk sekolah menengah, perasaan kagum itu masih ada tak pergi mana-mana. Setiap kali melihat mereka membimbit beg atau berjalan ke kampus.. terutamanya kakak-kakak (dari dulu lagi, aku perasan akak-akak U ni semua cantik-cantik belaka, sampai sekarang pon aku masih rasa macam tu).. aku rasa sangat teruja. "Seronoknya bila masuk universiti~"

Masa berlalu.. dan kini aku berada di tempat mereka. Baru aku sedar, rupa-rupanya.. aku sedang melakukan perkara cool yang aku kagumi sewaktu aku masih kecil. Aku buat assignment!!!! Cool sungguh! Dandandannn, aku juga menggalas beg serta berbasikal ke kampus. Bukankah satu masa dahulu, aku mengagumi semua itu? Dan kini aku melakukan apa yang aku kagumi. "Alahai, seronoknya~"

Dahulu aku sekadar kagum dan bercita-cita..
Kini aku sedang melakukannya sendiri..

Baru aku perasan. Aku bukan budak kecik tu lagi.

Bila tengok cermin, nampak janggut. Dulu tak ada.
Pandang atas mulut, nampak misai. Dulu tak ada.
Lihat sebelah telinga, nampak jambang. Dulu tak ada.
Tengok dalam seluar.. erm.. dulu  tak ada.

Eh?

haha

Dah besau dah budak kecik tu~



Yer ke?

Tuesday, April 10, 2012

Fight


Perit tau tak..
Lagi kau fight, lagi sukar perjuangan kau.
Dan bila kau dah mula pasrah, lebih berat cabaran dan dugaan.. seolah-olah menuntut kau untuk terus berjuang.

Tapi bila kau nak berjuang, terasa mata mulai kabur, jalan kelihatan sempit, onak dan duri di mana-mana.
Sehingga membuat kau tertanya-tanya.. kenapa sebegini payah?

Bila kau memilih untuk berserah, semakin kau diuji.
Hikmahnya? Ada.
Tapi apa? Wallahua'lam..

Saturday, April 7, 2012

Jaga

Aku rasa term "asyik kita je jaga perasaan orang, habis perasaan kita siapa nak jaga" sebenarnya tak perlu ada. Aku rasa, biarlah perasaan kita macam mana pun, yang penting perasaan orang lain terjaga.

Kita kecewa dengan orang, kita diamkan. Untuk jaga perasaan orang.
Orang kecewa dengan kita, biar orang marah kita. Yang penting orang gembira.

Apa sahaja yang kita rasa, sedih, marah, terkilan, kecewa dengan orang.. pendamkan, biarkan kita sahaja rasa.
Apa sahaja yang orang rasa, geram, tertekan, mengamuk, terasa.. luahkan pada dunia, tumpahkan ke kita, mudah-mudahan mereka bahagia.


Aku rasa.. diam itu sangat penting. Orang tak perlu tahu kekecewaan kita terhadapnya.
Diam bukan kerana bersetuju. Tak semestinya bahagia. Tapi diam untuk menjaga perasaan orang.

Alangkah baik kalau semua orang tidak sewenangnya meluahkan kata-kata. Tidak semahunya berbuat apa sahaja.

Oh, silap. Tak boleh berharap macam tu. Orang lain nak buat apa, kata apa, silakan. Perasaan orang lebih penting. Kita yang tak boleh cakap sewenang, buat semahunya. Demi menjaga perasaan orang..

Tuesday, April 3, 2012

Kalaulah Mereka Masih Hidup


Aku terfikir..

Andai kata.
Andai kata sahaja la, Rasulullah masih hidup.
Ok, tak, andai kata masih ada sahabat yang bernafas di muka bumi ini..
Dan tinggal di negara kita..

Bagaimana agaknya?

Dia tengok tv tak? Memandangkan dalam tv tu, semuanya aurat belaka..
Dia keluar rumah tak? Memandangkan kat luar, ramai yang berpakaian tapi bertelanjang..
Dia join politik tak? Memandangkan politik yang tak setulus zaman nabi dahulu..

Kalau dia jadi pemimpin negara, adakah rakyat akan menyokongnya? Atau menjatuhkannya selepas seminggu memegang tampuk pemerintahan..
Kerana beliau..
1. Menutup semua pusat perjudian
2. Menutup pusat-pusat hiburan
3. Menutup panggung-panggung wayang
4. Mewajibkan semua muslimah menutup aurat.. walaupun ianya memang telah lama diwajibkan
5. Menutup bank-bank yang mengamalkan riba
6. Menyekat laman-laman web tak bermoral secara menyeluruh
..dll

Pokoknya, beliau akan menjadikan negara yang diperintahnya, tidak ubah seperti tanah kelahiran dan pemerintahan Rasulullah saw.. yakni Mekah dan Madinah.

Wanita tidak boleh keluar tanpa mahram
Sekolah tidak lagi bercampur lelaki dan perempuan
Tiada pelajar dihantar belajar ke tempat yang bebas pergaulannya
..dll

Adakah rakyatnya yang beragama ISLAM akan dengar dan taat? Atau berhijrah keluar negara?


Kadang-kadang aku tertanya-tanya.. pemimpin kita tak menjalankan hukum.. atau rakyat yang mahu hidup dalam kejahilan?

Wednesday, March 28, 2012

Naif

Usaha tangga kejayaan.

Tapi..
Di mana kejayaan jika matlamatnya adalah neraka?
Apakah ada kejayaan bagi orang-orang yang menyebabkan murka Tuhannya?
Berjayakah mereka yang 'berjaya' dalam kemaksiatan?

Hairan melihat.
Bersungguh-sungguh mengumpul dosa.
Pandai sekali menyembunyikan.
Laksana seorang ninja. Hitam. Malam

Tiada siapa melihat. Ok, teruskan.
Tiada orang tegur. Ok, teruskan.
Belum sampai seru. Ok, teruskan.
Kubur masing-masing. Apa kau kisah?

Dah biasa buat. Ok, teruskan.
Tak ada orang tangkap pon. Ok, teruskan.
Nanti-nanti taubat la. Ok, teruskan.
Asalkan tak kacau orang lain. Baiklah, terserah. 

Dahulu, aku sungguh yakin sekali yang setiap muslim itu.. baik. 
Tahu hukum-hakam. Mana halal, mana haram.
Jadi, bila melihat kemaksiatan yang dilakukan... 
..aku sering menyangkakan "mungkin mereka terlupa"



Tapi.. bila fikir balik. Siapa aku? Muslimkah aku?
Jadi, adakah aku juga "mungkin terlupa"?

Alangkah naifnya aku.
Ya, aku tahu.
Benar, aku sedar.

Jadi, kenapa?
Adakah benar-benar aku terlupa?
Atau apakah aku sengaja mencari pasal?

Allah Maha Pengampun, kan?
Jadi kerana itu, kau buat maksiat banyak-banyak?
Dasar hamba tak mengenal untung..

Monday, March 26, 2012

Bukan Kau Punya


Sebiji epal. Di atas sepohon epal. Di dalam sebuah kebun epal. Yang berpagar. Bukan milikmu.

Kau hanya mampu memandang dari jauh mengenangkan epal tersebut
..yang bukan kepunyaanmu.

Di situ, sang pekebun sibuk memotong rumput-rumput di sekitar pohonan tersebut.
Dahan-dahan dicantas agar pohon itu sentiasa rendang.
Epal-epal yang ada dipelihara dari serangan serangga dan cuaca.
Sehinggalah ia cukup matang untuk dituai..

Engkau hairan..
Kenapa si pekebun tidak memetik epal tersebut.
Bukankah epal itu sudah masak?
Merah pekat, enak dipandang, membuat hatimu berbisik, "pasti manis epal itu"

Apakah yang ditunggu-tunggu pekebun itu?
Tidak risaukah dia sekiranya epal tersebut busuk, dimamah serangga, dicuri monyet?

Risaumu, sebenarnya bukanlah terhadap epal itu.
Tapi terhadap hatimu.
Memberontak menginginkannya tetapi apakan daya, bukan milikmu.

Pernah jua engkau terfikir..
"bagaimana jika aku panjat dan petik sahaja?"
Malam yang gelap, hujan turun lebat, angin bertiup kencang.
Masakan si pekebun ada untuk menjaga epalnya
Cerdik rancanganmu..

Namun, mujur sahaja cerdik akalmu tidak secerdik imanmu.
"Itu bukan kepunyaanmu..."
Apalah ertinya.
Kepuasan yang kau dapat hanya sebentar.
Balasan yang bakal kau terima.. boleh jadi selamanya.

Pencuri.
Penceroboh.
Haram buatmu.
Bila menjadi darah dagingmu.. neraka tempatmu.
Mahu?

Risau apakah kau?
Jika rezekimu, ia pasti akan sampai jua ke tanganmu,
Jika sudah tertulis begitu, tiada siapa yang bisa menghalangmu.
Kau lebih mulia dari yang kau sangka, andai sahaja engkau tahu.
Maka janganlah merendahkan maruahmu, menghinakan martabatmu
.

*****


Setiap hari kau melintasi kebun tersebut.
Epal itu tetap di situ.
Epal ajaib. Biarpun bertahun di situ, warnanya masih terang, merahnya tidak terusik.
Mungkinkah ia sedang menanti dirimu?

Kau hanya boleh melihat dari jauh.
Kerana..
Epal itu bukan milikmu...
Maka, berlakulah sebagaimana layaknya..

Monday, March 19, 2012

Jahil

Dosa si jahil kerana malas mencari tahu..
Dosa si alim kerana tidak mengamal pengetahuannya. 

Aku lebih rela menjadi si jahil daripada menjadi si alim lalai. 
Aku lebih gembira menjadi si jahil yang mati dalam perjalanan mencari ilmu. 
Aku lebih suka mejadi si jahil.. jahil dari ilmu-ilmu kemaksiatan.

Tapi.. siapa yang mahukan kejahilan? 
Bukankah mukmin yang kuat itu lebih disukai dari mukmin yang lemah? 
Bukankah mukmin yang pintar itu lebih disukai dari mukmin yang jahil?


Aku harap, aku lalai dalam kejahilan..
Kerana seksa untuk si alim yang alpa.. berkali ganda lebih berat..

Wednesday, February 8, 2012

Beda


Kau lihat sesuatu, tertarik kepadanya. Lalu kau membeli dan menggunakannya. Hati berbunga, rasa gembira. Kemudian, kerana begitu gembira, terdetik di hati untuk berkongsi. Agar semua orang boleh gembira bersama.

"Di, aku baru beli satu buku ni. Best gilerrr!!! Cuba la baca"
"Ji, cuba tengok baju yang aku baru beli ni, cantik betul!"

Namun, bukan semua orang berfikiran yang sama. Untunglah jika ada yang sependapat, dapatlah kegembiraan itu dikongsi. Tapi bagaimana jika ada yang tidak sefikiran?

"Aku dah baca dah buku ni. Aku rasa cerita dia tipikal sangat. Tak habis-habis pasal couple. Apa hukum couple?"
"Ohhh, baju ni ke. Kelmarin aku ada nampak juga. Tapi aku tak beli. Corak dia tak cantik"

Nah, bayangkan kau di situasi begitu. Apa yang kau rasa? Niat asalnya untuk berkongsi sebuah kesenangan, sekarang yang kau dapat adalah kritikan "jujur" tetapi pedas.


Wahai sahabat, sentiasalah beringat bahawa kita diciptakan berbeza. Dilahirkan dari rahim berbeza, dibesarkan dengan cara berbeza, mendapat didikan yang berbeza, lingkungan yang berbeza dan pengetahuan yang berbeza. Maka jika terdapat perbezaan pendapat, biasa la tu.

Kenapa kau nak marah jika apa yang kau senangi, dikritik orang lain? Dan kenapa kau nak terasa jika apa yang kau suka, dibenci orang lain? Mereka punya citarasa mereka sendiri. Apakah kau mahu semua orang dalam dunia ini menyukai apa yang kau sukai? Kalaulah begitu.. hambarlah dunia ini. Semua rumah sama sahaja rekabentuknya. Semua pakaian sama sahaja corak warnanya. Itu masih ok lagi. Bagaimana jika semua wanita sukakan lelaki yang sama? Bermadulah jawabnya =.="


Perbezaan adalah keistimewaan..

Tuesday, January 24, 2012

Ahmad Ali

Ahmad: Yang pasal kenduri tu, camne? Aku kurang selesa skit, especially bab persandingan tu. Aku tak nak la adik aku berhias-hias pastu kena display kat orang ramai camtu.

Ali: Okay. Aku remind diorang tujuan sebenar kenduri tu ape. Kita buat kenduri untuk warwar kat orang ramai yang si A kawen ngan si B. Bukan nak tunjuk kat orang betapa mewahnya kenduri kita tu. And then aku cakap kat diorang yang aku nak dapatkan redha Allah dalam setiap langkah aku menuju perkahwinan.

Ahmad: What do you mean?

Ali: Ye la, takkan la aku nak mulakan perkahwinan aku ngan kaki yang salah? Kalau permulaan aku tiada berkat, macam mana pulak dengan pengakhiran aku?

Ahmad: Masha Allah, betul cakap ko. Aku tak terpikir pulak dari sudut tu. Mesti susah kan nak convince parents ko?

Ali: Agak mencabar tapi Alhamdulillah, aku perasan hati diorang dah terbuka skit. Doa aku dimakbulkan. Aku bukannya tak nak masukkan langsung adat Melayu dalam kenduri aku, cuma kena filter la dulu apa adat yang boleh dan yang tak boleh dalam Islam.


(petikan novel "Cinta SMS")

Sunday, January 22, 2012

Cerpen: Masih Adakah Esok Buatku?


     Kadang kala aku begitu yakin sekali tatkala tidur malam. Aku begitu yakin bahawa masih ada esok untukku. Yakin bahawa mata aku akan celik seperti biasa dan aku akan bangkit ke kamar mandi seperti selalunya.

Kenapa ya?

Aku terfikir...

     Dari mana datangnya keyakinan tersebut? Apakah aku tidak sedar yang mati boleh datang bila-bila masa? Saat jaga mahupun tidur. Ketika lapang mahupun sempit. Sewaktu senang mahupun susah. Pun begitu, aku seolah-olah meremehkannya ibarat bersangka bahawa aku pasti akan bangun esok. Apakah aku tidak beriman dengan ayat "Dimanapun engkau berada, kematian akan menjumpaimu. Walaupun engkau berada didalam menara yang kukuh dan tinggi sekalipun.." [4:78]!?

     Tahu diri berdosa tetapi masih ditangguhkan taubatnya. Sekalipun dosa yang aku lakukan adalah dosa kecil.. namun dosa tetap dosa dan akan tetap dihitung. Jadi apakah aku yakin bahawa amal-amal kebaikanku cukup banyak untuk mengkompensasi dosa-dosa yang terkumpul tidak tertaubat itu? Lupakah aku kepada firman-Nya, "Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya". [99:7-8]

     Akulah manusia yang paling aneh. Punyai kesempatan namun disiakan. Jutaan mayat merayu untuk berada ditempatku, biarpun cuma sesaat, mereka mahu hidup kembali untuk bertaubat.Tapi aku??? Seenaknya tidur. Bagaimana kalau aku mati dalam tidurku?? “Sesungguhnya barangsiapa yang datang kepada Tuhannya dalam keadaan berdosa, maka sesungguhnya baginya neraka jahanam. Ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.” [20:74]. Lupa?? Atau buat-buat tak tahu??

     Aku ingin hidup lebih lama. Kerana aku tahu, lebih lama aku di sini, lebih banyak bekal untuk ku kumpul. Tapi aku khuatir. Khuatir jika panjang umurku kelak akan dipertanggungjawabkan ke atas dosa dan maksiat yang aku lakukan. Pastilah aku orang yang paling menyesal di hadapan Tuhanku kelak...


Taubat itu wajib. Jika hari ini aku terlupa..

Masih adakah esok untukku?

Tuesday, January 17, 2012

Yang Di Atas

Dia tak nak pun pegang kuasa tu sebab dia tahu erti tanggungjawab. Tapi bila orang dah push, apa sahaja yang boleh dilakukan? Suaranya tenggelam dalam keramaian. "Tidak mahu"nya tidak dilayan. Jadilah dia seperti apa yang orang mahukan. Tiada pilihan. Pasrah.

Pun begitu..




..bersambung

Monday, January 16, 2012

Rancang

Merancang memang mudah. Mengikut rancangan tersebut juga mudah. Tetapi adakah hasilnya seindah yang dirancang? Di situ la munculnya quote "kita hanya mampu merancang, Allah menentukan segalanya"

Aku ambil kertas, coret-coret, lakar-lakar.. bila dah yakin, aku buat elok-elok, print. So, dari plan yang dibuat, dari kira-kira yang dibuat, aku akan kaya pada hujung June. Dan lebih kaya pada hujung Julai. Dan lebih-lebih kaya lagi pada bulan-bulan seterusnya. Dan pada akhir tahun, mungkin akan ada krisis kewangan dan ekonomi merundum. Tapi jika ikutkan rancangan yang tertulis, aku tetap akan merasakan kaya pada waktu itu. Bagaimana tu~?

Apa-apa pun, bagaimana aku merancang kewangan dan kehidupan aku, aku tetap tidak boleh lari dari rancangan yang telah tersedia untuk aku sejak azali. Jika rancangan aku berhasil, bererti ianya selari dengan takdir. Jika rancangan aku tidak menjadi, pasti ada hikmah tersembunyi.

Pun begitu, merancang itu perlu kerana itu adalah tanda usaha kita. Tanpa usaha, ibaratnya kita telah menyerah sebelum bertanding. Ibarat ingin makan jagung, tapi berkurung di dalam bilik sahaja. So, hasilnya? Mesti la tak dapat jagung. Jadi sebelum kita pasrah, pergilah keluar mencari jagung itu dahulu... Kalau tak dapat, maka bertawakal la. Atau makan sahaja maggi yang ada. Mungkin malam itu kita tidak ditakdirkan untuk makan jagung..

Wednesday, January 11, 2012

Tangguh


Dalam hati terniat nak mengaji, buka tafsir, belajar sikit pasal hadith, baca modul, study cases. Tapi aneh, bila terdetik sahaja nak buat perkara sedemikian, tak sempat habis fikir pun, baru sahaja terlintas "aku ingat nak mengaj..".. dengan tak semena-mena, dah ada satu lagi lintasan lain memotong fikiran tersebut.

"kejap lagi la, main game dulu"

atau

"rilek dulu la, lepas maghrib je la. alang-alang nak tunggu isyak"


Selepas main game atau setelah selesai maghrib, sekali lagi terlintas nak melakukan perkara sama, tetapi ianya terjadi lagi. Lintasan hati tersebut dipintas oleh satu lagi lintasan lain..

"mengantuk la lepas main game, tidur dulu la. biar segar sikit, baru best belajar"

atau

"nak baring-baring kejap la. lepas isyak baaaanyak masa. belajar lepas isyak je"


=.="




Kenapa amal kebaikan itu terasa berat untuk dilaksanakan on the spot? Acap kali niat kita untuk melaksanakan suatu kebajikan terbantut dek kerana sikap suka bertangguh. Anehnya, apabila berhadapan dengan perkara lagha dan hiburan melalaikan, tidak pula kita terfikir untuk menangguhkannya. Setuju?

"Rasa nak tengok SN..", belum sempat kepala kita menghabiskan ayat tersebut, jari kita terlebih dahulu menekan link youtube yang telah dibookmark. 'SNSE - mr bajai..'


Benar. Perkara baik sentiasa dirasakan tersangat-sangat berat untuk dilaksanakan. Biarpun witir itu cuma 3 rakaat, dan boleh juga dilakukan 1 rakaat.. berapa ramai yang 'kuat' untuk menunaikan ibadah yang.. tak sampai 3 minit tu? "Movie kol berapa? ok, set! Berapa jam? 3? no hal, yang penting citer best" =.="

Mata wang kertas terkecil sering menjadi pilihan dalam urusan sedekah. Kalau anda seorang penyeluk saku dan penghulur buta (yakni tidak tengok pun berapa yang dihulurkan), tahniah. Namun bagi yang berkira-kira "nak hulur seringgit ke.. lime posen" .... simpan sahajalah duit itu. Mudah-mudahan berguna untuk beli kain  putih.


Tiga minit tak lama. Lima minit pun tak lama. Begitu juga sepuluh minit. Kita yang memerlukan Allah, Allah tak perlukan kita pun.
Duit boleh cari, malah akan diganti lebih banyak. Nak kedekut.. padahal bukan kita punya pun.
Oleh itu, bersabarlah. Teruslah melakukan bila terlintas niat tersebut.
Jangan bertangguh dan tidak usahlah berkira dalam beramal kebaikan..

Kalau nak juga.. tangguhkan la perkara-perkara lagha. Not the other way around..

Sunday, January 8, 2012

Keputusan


Kasim terjaga dari tidurnya. Masih mereng-mereng sedikit kepala dia. Sakit kepalanya masih belum hilang walaupun dah tidur..

Sambil terpisat-pisat, dia terhidu bau harum dari dapur. Kawan serumahnya beli Pizza Super Supreme extra large dengan tepian Cheesy Bite. Perutnya yang sejak tadi berkeroncong, bagaikan meminta-minta pizza tersebut. Namun apakan daya, pizza itu bukan kepunyaannya. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk memasak maggi sahaja. Setelah makan maggi yang tak seberapa itu, hatinya gembira. Walaupun bau pizza itu masih menusuk.. tetapi dia sedikit pun tidak kisah dah..

Kini tekaknya haus. Dia teringin hendak menikmati Pepsi Blue yang dingin. Bagaimanapun, kakinya terasa berat untuk melangkah ke kedai, membeli air kegemarannya itu. Lalu, dia ke tong air kosong, menuang segelas air kosong dan meneguknya sampai habis. Air kosong itu tidaklah sesedap mana jika hendak dibanding dengan Pepsi Blue, rasa pun tiada.. tetapi hatinya puas. Kasim tidak lagi memikirkan untuk mendapatkan Pepsi Blue walaupun dia mampu membelinya..

Sewaktu melangkah masuk ke biliknya, dia terhenti. Berfikir sejenak.

Dan akhirnya.. dia mengambil keputusan untuk menikah..



dapat?


[30:21]

Wednesday, January 4, 2012

Entah

.... kadang-kadang, atas sebab-sebab yang tak diketahui, marah boleh datang tiba-tiba.

Semua orang boleh marah. Mampu marah. Tapi sejauh mana kita mampu mengawal kemarahan kita? Apa yang kita akan lakukan? Jerit? Baling barang? Tumbuk dinding? Pendam? Cerita kepada orang? Mengaji?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...