Sunday, January 22, 2012

Cerpen: Masih Adakah Esok Buatku?


     Kadang kala aku begitu yakin sekali tatkala tidur malam. Aku begitu yakin bahawa masih ada esok untukku. Yakin bahawa mata aku akan celik seperti biasa dan aku akan bangkit ke kamar mandi seperti selalunya.

Kenapa ya?

Aku terfikir...

     Dari mana datangnya keyakinan tersebut? Apakah aku tidak sedar yang mati boleh datang bila-bila masa? Saat jaga mahupun tidur. Ketika lapang mahupun sempit. Sewaktu senang mahupun susah. Pun begitu, aku seolah-olah meremehkannya ibarat bersangka bahawa aku pasti akan bangun esok. Apakah aku tidak beriman dengan ayat "Dimanapun engkau berada, kematian akan menjumpaimu. Walaupun engkau berada didalam menara yang kukuh dan tinggi sekalipun.." [4:78]!?

     Tahu diri berdosa tetapi masih ditangguhkan taubatnya. Sekalipun dosa yang aku lakukan adalah dosa kecil.. namun dosa tetap dosa dan akan tetap dihitung. Jadi apakah aku yakin bahawa amal-amal kebaikanku cukup banyak untuk mengkompensasi dosa-dosa yang terkumpul tidak tertaubat itu? Lupakah aku kepada firman-Nya, "Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya". [99:7-8]

     Akulah manusia yang paling aneh. Punyai kesempatan namun disiakan. Jutaan mayat merayu untuk berada ditempatku, biarpun cuma sesaat, mereka mahu hidup kembali untuk bertaubat.Tapi aku??? Seenaknya tidur. Bagaimana kalau aku mati dalam tidurku?? “Sesungguhnya barangsiapa yang datang kepada Tuhannya dalam keadaan berdosa, maka sesungguhnya baginya neraka jahanam. Ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.” [20:74]. Lupa?? Atau buat-buat tak tahu??

     Aku ingin hidup lebih lama. Kerana aku tahu, lebih lama aku di sini, lebih banyak bekal untuk ku kumpul. Tapi aku khuatir. Khuatir jika panjang umurku kelak akan dipertanggungjawabkan ke atas dosa dan maksiat yang aku lakukan. Pastilah aku orang yang paling menyesal di hadapan Tuhanku kelak...


Taubat itu wajib. Jika hari ini aku terlupa..

Masih adakah esok untukku?

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...