Friday, November 30, 2012

Rejeki Kau, Siapa Yang Kasi?

 
Kadang-kadang tu, waktu solat maghrib, aku selalu sampai lambat. Bukan sebab masjid jauh dari rumah, tapi terleka dengan perkara-perkara yang melekakan. Waktu masuk ke perkarangan masjid, terlihat beberapa orang pakcik sedang solat maghrib sendirian meskipun di hadapan masih ada jemaah.

Aku cam pakcik-pakcik ni. Seorang penjual sate dorongan. Seorang lagi peniaga pecel di simpang tiga nun. Yang menjadi pertanyaan, kenapa mereka solat sendiri. Dah sampai masjid, di awal waktu, namun memilih untuk bersendirian.

Bukan aku tidak tahu kenapa, cuma tidak faham. Mereka adalah peniaga muslim. Untuk menjimatkan waktu kerana bimbang akan perniagaan mereka, mereka solat sendiri.

Nah. Cuba fikirkan. Rezeki siapa yang beri? Kita terkejar-kejar, nak cepat habis solat sebab nak mengejar dunia. Malah kita meninggalkan solat berjemaah. Padahal semua sedia maklum bahawa rezeki itu Allah yang beri. Kita tidak mendapat lebih atau kurang sedikit pun melainkan dari apa yang telah Allah tetapkan.

Jadi apa nak risau? Rezeki telah tertulis. Adakah kita takut pelanggan lari sebab kita lambat meniaga? Atau adakah kita takut masa untuk kita meniaga berkurang disebabkan kita meluangkan masa solat berjemaah?

Ya, pelanggan mungkin lari. Masa berniaga akan berkurang. Tapi begitu berpengaruhkah? Kita sama sekali tidak tahu dari jalan mana rezeki Allah akan diturunkan. Boleh jadi 2,3 pelanggan yang lari cuma mahu membeli sebungkus nasi, kita rugi sebungkus. Boleh jadi kemudian datang seorang pelanggan yang membeli 10 bungkus sekaligus, kita untung lebih banyak. Rezeki itu rahsia Allah. Kita tidak perlu risau kekurangan rezeki. Allah akan cukupkan rezeki kita, malah dari jalan yang tidak disangka-sangka. Syaratnya, tunaikanlah apa yang diperintahkan Allah. Selebihnya, berserah diri kepada Allah. Itu sahaja.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...