Monday, January 3, 2011

Dekati

Memang benar. Bukan tidak mampu, tetapi tidak mahu.

Yang sedap tak semestinya berkhasiat dan yang berkhasiat tak semestinya sedap. Terpulang pada diri sendiri untuk menilainya. Kita asyik kata, tak mampu nak menahan diri, ianya terlalu menggoda sehingga membuatkan diri lemah terhadapnya. Bohong! Bohong! Bohong!

Memanglah gula-gula itu manis dan sedap, tetapi ia juga tidak berkhasiat. Boleh merosakkan gigi, meningkatkan kadar gula darah dan mungkin menyebabkan pelbagai lagi penyakit lain jika pemakanannya tidak terkawal.

Kita tahu keburukan sesuatu itu, tetapi lebih mendalam pengetahuan kita, lebih indah pula ianya terlihat di mata. Jika sudah tahu dan sedar alangkah pentingnya kita untuk menjauhi dan menghindarinya, kenapa kita masih melakukan tindakan yang bertentangan dengan kesedaran kita?

Jika ianya mendatangkan mudarat kepada kita, jangan sekadar berkata "aku mahu menjauhinya" tetapi lakukan dengan sesungguh-sungguhnya! Kadang-kala kita tidak sedar bahawa yang melemahkan kita bukan subjek itu semata-mata tetapi perkara yang membawa kita kepada subjek tersebut.

Kita tidak mahu makan gula-gula lagi, maka jangan berfikir mengenainya. Campakkan fikiran kita jauh daripadanya. Jangan melakukan sesuatu yang membawanya masuk ke fikiran kita. Pejam mata dari melihatnya, tutup telinga dari mendengar mengenainya, cegah jari-jemari dari mencari maklumat mengenainya.

Kita tak sedar.. Arahannya adalah "janganlah kamu mendekati.." bukannya "janganlah kamu melakukannya". Itulah fokusnya. Tetapi kita ego. Kita kata, Asalkan aku tidak melakukannya, semuanya akan baik-baik. Itulah kita. Ada mata tetapi buta. Ada telinga tetapi pekak.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...