Tuesday, January 4, 2011

Hampir Maghrib..

Usianya aku kira sudah terlalu lanjut. Tapi masih gagah untuk berjalan ke sana ke mari. Biasanya ramai yang seusia begitu aku lihat lebih menumpukan kehidupan mereka di tikar-tikar sejadah, di masjid-masjid. Apabila subuh, berlumba-lumba mereka ke sana biarpun ada yang terpaksa bertongkat dan terbongkok-bongkok.

Tapi dia lain, dia masuk melalui pintu kaca tersebut dan beratur di belakangku sambil memegang syiling yang banyak. Sepertinya dia mengumpul syiling-syiling itu dengan bersusah payah. Tiba-tiba aku terbayang sekujur tubuh tua sedang terbongkok-bongkok mengutip syiling di celahan almari. Kemudian tercari-cari syiling di timbunan surat-surat di atas meja. Ataupun mengorek-ngorek dompet usangnya untuk mengeluarkan sisa-sisa syiling yang ada. Penuh kesungguhan..

Namun aku hairan apabila dia beratur sahaja tanpa memegang apa-apa untuk dibayar. "Owh, mungkin barang yang mahu dibelinya berada di kaunter pembayaran. Mungkin pencukur rambut agaknya", aku membuat andaian.

Apabila selesai urusanku dengan cashier muda tersebut, aku terdengar si tua itu. Jari telunjuk kanannya bengkok, sedikit bergetar ketika menunding ke arah sesuatu. Namun masih jelas ke mana arah yang ditunjuknya. Dia memesan sesuatu dan kemudian terbatuk-batuk. Bait-baitnya jelas walaupun suaranya tersekat-sekat. 

"Sampoerna merah"

Urusanku telah selesai di kedai itu, wahai pakcik.. atau atok, mungkin lebih tepat. Tapi bagaimana denganmu? Apa sebenarnya yang kau cari di senja usiamu ini...? 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...