Sunday, March 7, 2010

Yang Sepi..

Sebuah masjid baru sahaja didirikan di tengah-tengah sebuah kota besar. Dari luar masjid tersebut kelihatan bagitu cantik dan gah. Kubahnya unik. Setiap sudut berlantaikan marmar yang diimport dari luar negara. Di ruang ibadah utama dihamparkan pula permaidani indah buatan negara timur tengah. Reka bentuk dan kesenian Islam jelas terpapar dari setiap inci. Pembinaannya begitu rumit namun mampu membuatkan setiap mata yang memandang terleka seketika. Kos pembinaannya sahaja mencecah jutaan ringgit..mungkin juga jutaan dollar. Ayat-ayat suci al-Quran tergantung di mana-mana. Kitab-kitab baru dan cantik tersusun rapi di setiap rak buku antik. Di ruangan utama dilengkapi dengan sistem pembesar suara serta lengkap dengan penghawa dinginnya. Di luar pula, lot-lot meletak kenderaan turut disediakan, mampu memuatkan ratusan buah kereta. Juga terdapat taman bunga di sekitarnya..

Azan berkumandang menandakan telah masuknya waktu solat. Muazzin yang baru sahaja melaungkan azan mendirikan solat sunat dua rakaat. Usai memberi salam dia duduk dan menunggu dengan taat. Seorang lelaki muda muncul dan melakukan perkara yang sama, solat sunat dua rakaat. Apabila selesai..kedua mereka terus menunggu sambil berzikir. Lima minit, sepuluh minit, lima belas minit...

Setelah mencapai kata sepakat, akhirnya mereka bangkit. Iqamah dilaungkan dan solat jemaah didirikan. Seorang menjadi imam dan seorang lagi menjadi makmum, melengkapkan syarat solat berjemaah. Selesai membaca tahyat..salam diberikan. Tuntutan fardu kifayah telah dipenuhi. Maka dengan itu terlepaslah sudah penduduk kota itu akan sebuah tanggungjawab.

Kedua mereka bersalaman dan berjalan keluar dari ruang utama. Di perkarangan masjid, mereka berbual mengenai kehidupan masing-masing. Enjin kenderaan dihidupkan dan mereka pun berpisah di situ, menuju ke destinasi masing-masing.

Keluar dari perkarangan masjid, si imam melewati sebuah bangunan besar, 15 tingkat. Di perkarangan bangunan terdapat sebuah tugu besar dan tertulis disitu "Salam Enterprise". Sebuah syarikat pembinaan yang dimiliki oleh seorang muslim. Lebih kurang 90% dari pekerjanya merupakan pekerja beragama Islam. Syarikat ini jugalah yang bertanggungjawab dalam pembinaan masjid tersebut.

Tidak jauh dari situ, dia melewati sebuah pasaraya. "Toko Jauhari" - Harga Berpatutan Sepanjang Zaman. Pasaraya yang sentiasa penuh dengan pengunjung. Beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam. Keuntungan kasar tahun lalu yang dicatatkan adalah sebanyak RM29.45 juta. Bukan calang-calang pasaraya. Pemiliknya seorang usahawan terkenal yang memiliki banyak lagi cawangan di seluruh negara.

Si imam meneruskan pemanduannya..
Masa terus berlalu meninggalkan sesiapa sahaja. Mereka yang ditinggalkan sentiasa berada di dalam kerugian kecuali mereka yang sabar dan sentiasa beringat-ingat.

Radio yang rancak memutarkan lagu-lagu terbaru kini berehat seketika bagi memberi laluan kepada azan yang menandakan masuknya waktu solat. Sang muazzin telah bersedia di pinggir mikrofon. Dan azan dilaungkan sepenuh hati. Sesiapa yang mendengar pasti runtun hatinya..sayu terasa. Selepas solat sunat dikerjakan, muazzin itu menunggu seperti biasa. Seorang lelaki muncul dan menyalami tangan sang muazzin. Dia mengerjakan ibadah yang sama sebelum menyertai muazzin itu dalam penantiannya. Lima minit, sepuluh minit, dua puluh minit..

Akhirnya mereka mengalah. Takbir diangkat. Suara si Imam jelas kedengaran walaupun tidak menggunakan alat pembesar suara. Ayat-ayat suci dialunkan merdu menghiasi segenap ruang masjid.. Dua orang lelaki sedang khusyuk menunaikan solat.
Seorang imam..
Seorang lagi makmum..

Dari luar, masjid tersebut kelihatan bagitu indah. Setiap penduduk kota itu pasti akan berbangga apabila nama masjid itu disebut oleh pelancong-pelancong. Namun hakikatnya, tiada siapa yang tahu isi hati masjid tersebut. Tiada siapa yang mendengar tangisan masjid tersebut. Tiada siapa yang mengambil peduli akan kesedihan masjid tersebut..
536

1 comment:

Avian Terkecewa said...

Tertikam Di Lubuk Hati Dengan Kata2 Itu....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...