Tuesday, August 4, 2009

Kita Tidak Lupa

13 Mei 1969? Apa yang terlintas di kepala? "oh, tu tarikh hari jadi saye", "saye tak tau la tarikh ape tu, jgn la tanye saye", "mase tu saye belum lahir lagi, mane saye tau", "jgn kaco gua la, ade race lepas ni, gua nak fokus ni". Berapa ramai pula di antara kita yang terdetik untuk menaip perkataan "sejarah Malaysia", "peristiwa 13 Mei", "tragedi Bukit Kepong" atau "Kemerdekaan negara" di kotak enjin-enjin carian seperti yahoo atau google? Bagaimana pula dengan buku-buku teks sejarah tingkatan 1 hingga 5? Masih dalam simpanan atau telah menjadi "sejarah"? Sesungguhnya mereka yang tidak mempelajari dan menghayati sejarah adalah mereka yang cenderung untuk mengulanginya...

Terasa sedih dan pilu setiap kali melangkah ke bulan kemerdekaan ini. Apalah sangat tanggal 31 Ogos, 13 Mei dan 16 September serta Jun 1948 hingga 12 Julai 1960 itu jika dibandingkan dengan tarikh 1 Januari dan 14 Februari. Bila 31 Ogos menjelma yang terbayang di mata hanyalah perarakan kereta-kereta berhias, iklan-iklan berkonsepkan cinta pada negara dan cuti umum. Jauh sekali kita menghayati pengorbanan dan perjuangan insan-insan terdahulu dalam mendaulatkan negara tercinta ini. Pada hemat mereka, kemerdekaan bererti kebebasan. Istilah bebas itu pula ditafsir dengan pelbagai cara dan gaya. Aku bebas merempit, aku bebas ke mana-mana, kelab-kelab malam mahu pun pesta-pesta hiburan. Aku bebas berpakaian sebegini dan sebegitu. Aku bebas menaip apa-apa sahaja di blogku. Aku bebas untuk menyertai mana-mana demosntrasi dan perarakan jalanan. Itulah definasi bebas bagi mereka..

13 Mei 1969...
Apa sebenarnya yang berlaku pada tarikh ini? Tiada apa-apa yang berlaku, cuma pembunuhan beramai-ramai seperti yang berlaku di negara-negara luar. Tiada apa yang menarik, cuma berbalahan antara kaum yang mengakibatkan kehilangan harta dan nyawa. Apa yang nak dikesahkan dengan pembunuhan wanita mengandung yang kemudian janinnya dikeluarkan dari rahim menggunakan besi penyangkut daging babi. Hanya kisah rakyat-rakyat dipenggal dan kemudian kepalanya disangkut di atas pagar. Ada pula segelintir yang kurang bernasib baik, dibunuh beramai-ramai sebelum dihumban ke dalam lombong. Van dan lori dibakar, parang melayang-layang, peluru-peluru sesat menembusi dada dan kepala. Tangisan hiba dibalas cantasan parang. Yang hidup berlari ke sana ke mari, yang mati dibunuh jiran sendiri. Perintah berkurung dikuat kuasakan, yang ingkar ditangkap, yang melawan dibunuh.

Aneh, kan? Saban hari kita melihat dari kaca tv, membaca muka-muka akhbar bagaimana penderitaan dan kesengsaraan yang dialami masyarakat luar. Bagi kita semuanya perkara biasa, mungkin terdetik di hati, alangkah kasihannya mereka, tapi selepas itu? Segalanya kembali normal, kita melakukan aktiviti harian seolah-olah berita2 tersebut hanyalah santapan mata dan halwa telinga sahaja. Jarang sekali kita membayangkan apa akan berlaku jika semua itu terjadi pada diri dan keluarga tersayang. Alangkah pilunya. Kita telah merdeka, kita tak mahukan peperangan, kita bencikan perbalahan, kite menolak persengketaan. Kita mahukan perdamaian, kan? Ya, tiada siapa suka tekanan dan kongkongan. Namun, hidup itu tidak selalunya indah sebagaimana langit itu, tidak selalunya cerah. Peperangan dan persengketaan. Pergaduhan, kehilangan nyawa. Segalanya tidak mustahil terjadi bila akal tidak lagi diguna pakai, dan agama ditolak dibuang. Bila hati tidak lagi mampu melihat kebaikan, nafsu diturutkan..dan bila itu terjadi maruah dan nyawa menjadi mainan. Alangkah pilunya. Mudah2an dijauhkan, sama-sama kita doakan.

Wahai generasi baru, anak-anak merdeka. Negara ini negara kita! Biar pun sekangkang kera, tanah ini tanah kita. Bukan dia, bukan mereka, tapi KITA..yang berlalu biarkan ia tinggal dalam lipatan sejarah. Sejarah hitam yang memeritkan. Kejarlah ilmu, kejarlah masa hadapanmu. Tapi jangan sesekali kita lalai. Kita mungkin sering melupakan sejarah tapi andai sekali kita terleka dan terlupa, bersedialah menghadapi sejarah yang mungkin berulang...

Kerana..









Sejarah itu tidak pernah melupakan kita..






574

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...